PAS hari ini menyarankan agar kerajaan menangguhkan terlebih dulu cadangan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 atas alasan rakyat masih lagi terhimpit dengan kenaikan tarif elektrik dan air.
Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari, berkata kerajaan juga masih gagal membuat takrifan yang jelas terhadap golongan T20 yang akan dikecualikan daripada subsidi untuk bahan bakar berkenaan.
Dia juga menganggap pengumuman Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, bahawa rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini sebagai amat mengecewakan.
“Ketika rakyat masih terhuyung-hayang dengan kenaikan tarif elektrik dan air, kerajaan nampaknya tidak sabar-sabar mahu mencabut satu lagi saki-baki bantuan yang tinggal untuk orang ramai bertahan.
“Lebih menjengkelkan, sehingga ke hari ini, kerajaan sendiri pun masih kabur siapa sebenarnya golongan T20 yang dikatakan tidak layak menerima subsidi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, jawapan menteri di Dewan Rakyat berhubung kategori berkenaan juga menimbulkan banyak kekeliruan.
Katanya, ada yang mengatakan penilaian akan dibuat berdasarkan lokasi, selain mendakwa ia berdasarkan perbelanjaan.
Selain itu, tambah Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan, ada pula yang memberi bayangan ia dipengaruhi oleh penggunaan data e-dompet, MySejahtera, malah langganan Netflix.
“Akhirnya, siapa sebenarnya T20? Adakah satu keluarga empat orang di bandar yang gajinya RM11,000 tapi menyewa rumah pun dianggap T20?” katanya.
Terdahulu hari ini, Amir Hamzah berkata, Kementerian Kewangan (MoF) akan meneruskan proses pelaksanaan rasionalisasi RON95 walaupun pada ketika ini fokus tertumpu kepada perbincangan bagi memastikan golongan yang akan menerima sokongan subsidi dikenal pasti dengan tepat.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kabinet berbincang mengenai pengecualian rakyat Malaysia yang mana akan layak untuk dapat subsidi,” katanya.
Ahmad Fadhli mendakwa pembangkang sebenarnya tidak menolak proses reformasi berkenaan, namun mendakwa ia tidak boleh dilakukan secara “semberono.”
Katanya bagaimana kerajaan ingin memastikan subsidi yang disasarkan itu benar-benar sampai kepada golongan yang layak jika sehingga kini belum ada sebarang mekanisme terperinci bagi tujuan tersebut.
“Jika definisi pun tidak jelas, bagaimana pula mahu melaksanakannya dengan adil dan cekap?
“Kita (PAS) bukan antireformasi, tapi kita anti kepada reformasi semberono yang meletakkan rakyat sebagai mangsa uji kaji dasar ekonomi.
“Kerajaan mesti tangguhkan dahulu rasionalisasi subsidi RON95 ini. Selesaikan dulu isu tarif,” katanya lagi.