Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzi menyifatkan PAS telah menyimpang daripada prinsip Islam sederhana yang diperjuangkan Allahyarham bapanya, Fadzil Noor dan sebaliknya mengamalkan politik perkauman yang memecahbelahkan rakyat.
Faiz berkata bahawa Allahyarham Fadzil semasa memimpin PAS pernah mengemukakan gagasan “perpaduan nasional” pada 2001 sebagai respons terhadap seruan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad yang menggesa “perpaduan Melayu”.
Idea tersebut, kata Faiz, kekal menjadi asas perjuangan Amanah.
“Agenda perpaduan nasional yang dibawa Fadzil Noor akan terus diperjuangkan Amanah. Inilah asas utama Amanah ditubuhkan dan pendekatan wasatiah (sederhana) yang dibawa Almarhum kini menjadi obor perjuangan Amanah.
“Walaupun pelbagai fitnah dilemparkan terhadap Amanah, namun legasi perjuangan tokoh umat ini akan terus kekal menjadi kompas perjuangan Islam yang dibawa Amanah berasaskan prinsip ‘rahmat untuk semua’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memimpin PAS dari 1989 sehingga pemergiannya pada tahun 2002, Fadzil memainkan peranan penting dalam membentuk kerjasama awal PAS dengan PKR dan DAP. Menurut Faiz, legasi perjuangan ayahnya menjadi asas kepada penubuhan Amanah, yang lahir sebagai parti serpihan PAS pada 2015 selepas pergeseran dalaman.
Namun, Faiz mendakwa di bawah kepimpinan Abdul Hadi Awang yang menggantikan bapanya, haluan politik PAS telah menyimpang jauh daripada visi inklusif yang diperjuangkan oleh Fadzil.
“Kompas politik PAS kini berubah dan beralih kepada permainan politik perkauman dengan menjadikan pemahaman agama yang sempit sebagai alat mengapi-apikan kebencian kaum.
“Bagi mencapai matlamat ini, PAS berjuang atas fitnah dan adu domba dan bukan lagi hujah ilmu dan fakta,” katanya.
Dia merujuk PRK Ayer Kuning yang baru berakhir sebagai contoh, di mana PAS didakwa memainkan isu ladang babi di kawasan majoriti Melayu untuk menggambarkan masyarakat Cina sebagai ancaman kepada mereka.
“…Sedangkan fakta menunjukkan tiada pencemaran sisa ladang babi berlaku,” katanya, merujuk pengesahan pihak berkuasa yang tiada pelanggaran peraturan melibatkan perkara itu.
Faiz turut membangkitkan cadangan agar pengundi menangguhkan ibadah haji demi kempen pilihan raya kecil itu, menyifatkannya sebagai satu “fatwa politik” yang tidak bersandarkan “ilmu Islam yang sebenar”.
Katanya lagi, seruan “perpaduan Melayu” sering diulang apabila parti politik mula kehilangan sokongan, semasa era Reformasi di bawah kepimpinan Mahathir dalam Umno, dan kini oleh PAS dan Bersatu di bawah PN.
“Legasi perjuangan Fadzil Noor berasaskan perpaduan nasional tidak lagi diperjuangkan PAS,” katanya lagi.
Dalam PRK Ayer Kuning, calon PAS Abd Muhaimin Malek dan calon PSM KS Bawani tewas kepada calon Umno Yusri Bakir, yang mengekalkan kerusi itu untuk BN.