Malaysia Oversight

PAS Pengkalan Chepa calon Mohd Amar tanding timbalan presiden

By MkiniBM in June 29, 2025 – Reading time 2 minute
PAS Pengkalan Chepa calon Mohd Amar tanding timbalan presiden


Naib Presiden , Mohd Amar Abdullah menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam muktamar parti itu akan datang.

Pencalonan tersebut dikemukakan Dewan Pemuda Kawasan Pengkalan Chepa sempena Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-53 yang berlangsung hari ini, lapor Astro Awani.

Cadangan itu dibawa oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pengkalan Chepa, Mohamad Sazwan Mohd Sakri, dan disokong sebulat suara oleh seluruh perwakilan dewan pemuda kawasan berkenaan.

“Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa dengan penuh rasa tanggungjawab mencadangkan agar Mohd Amar Abdullah dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden Pas.

“Cadangan ini disandarkan kepada tiga asas utama, pertama pengalaman dan Kepimpinan, sebagai Naib Presiden PAS Pusat, Timbalan Pesuruhjaya PAS dan bekas Timbalan Menteri Besar, beliau telah lama menjadi tonggak utama dalam pentadbiran negeri dan organisasi parti.

“Keduanya, Mohd Amar dilihat individu berilmu dan berwibawa, seorang tokoh yang dihormati, berwibawa, berilmu dan sentiasa tenang dalam berhujah.

“Suara beliau menjadi suara yang diyakini, sama ada di medan politik mahupun masyarakat,” katanya.

Jawatan timbalan presiden PAS kini disandang oleh Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada Feb lalu, Tuan Ibrahim berkata, dia menyerahkan kepada perwakilan PAS sama ada mahu mencalonkannya sekali lagi bagi jawatan kedua tertinggi parti tersebut atau sebaliknya.

“Pemilihan dibuat bila ahli PAS mencalonkan kita dan moga diterima.

“Bergantung kepada pencalonan, takut tidak ada orang calon (saya), tengok dulu pencalonan,” katanya.

Sebelum ini Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Md Nor berkata parti itu tidak menghalang mana-mana pemimpinnya merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti September ini.

Bagaimanapun berkata, tiada calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden yang disandang Abdul Hadi Awang dalam pemilihan-pemilihan sebelum ini.



Source link