Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong, menyelar kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa DAP sebagai pencetus ketegangan kaum di di negara ini.
Sebaliknya, menurut Woo, tuduhan Menteri Besar Kedah itu adalah satu bentuk pembohongan politik yang sudah menjadi tabiat kepimpinan PAS, khususnya semasa musim pilihan raya.
“Siapa yang fitnah bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai punca rasuah di Malaysia?

“Siapa yang reka cerita rakyat Malaysia angkat bendera China, sedangkan ketua polis negeri sendiri sahkan hanya warganegara China yang terlibat?” soal Woo dalam satu kenyataan hari ini.
Dia turut membangkitkan beberapa kenyataan lampau yang berbaur perkauman dan menghina oleh pemimpin PAS, termasuk tuduhan mengaitkan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng sebagai sepupu pemimpin veteran Lim Kit Siang dan fitnah terhadap menteri pelancongan sebagai “tokong perut buncit”.
“Sebagai pakar mengapi-apikan isu perkauman, PAS sebenarnya tidak layak untuk menuduh sesiapa dalam hal ini,” kata Woo yang juga adalah Adun Pasir Bedamar sambil mengingatkan pemimpin parti itu tentang siri kekalahan mereka dalam kes saman fitnah di mahkamah.

Menurutnya, PAS sepatutnya bermuhasabah diri sebelum cuba menggambarkan pihak lain sebagai ancaman kepada perpaduan negara.
Malam tadi, Muhammad Sanusi mendakwa DAP mengapi-apikan ketegangan kaum di negara ini, dan berkata, negara ini hanya boleh diselamatkan jika parti itu tiada lagi dalam arena politik.
“Pihak yang meniupkan (api) perkauman di negara ini bukan PN, bukan PAS atau Bersatu tetapi DAP.
“Calon BN (untuk PRK Ayer Kuning) duduk dengan DAP – parti bahaya dan cauvinis.
“Walaupun dia (DAP) tampil dengan lidah yang lembut, lembut gigi daripada lidah tetapi percayalah sejarah menunjukkan rentetan penubuhan DAP inilah, negara kita semakin hari semakin panas dengan perkauman,” kata menteri besar Kedah itu ketika program ceramah di Bidor semalam.

Mengulas lanjut, Woo berkata, politik kebencian menjadikan PAS bukan sahaja tidak relevan, tetapi semakin terpinggir daripada politik matang.
Dia juga mengingatkan bahawa budaya politik fitnah yang diamalkan PAS tidak harus dinormalisasikan, lebih-lebih lagi ketika rakyat memerlukan kepimpinan yang matang dan berfakta.
“Dah biasa buat fitnah, sekarang rasa macam benda tu normal. Jangan jadikan kebiasaan membuat fitnah sebagai alat politik,” katanya.
Mengulas lanjut, Woo berkata PAS dan PN kini memainkan peranan sebagai penyebar utama retorik perkauman demi mengalih perhatian daripada kegagalan mereka menawarkan dasar yang konstruktif kepada rakyat.
“Cakap lembut, tapi penuh racun. Inilah gaya PAS yang kononnya mahu pertahankan Islam, tapi pada masa sama menyemai kebencian antara kaum,” katanya.

Woo mengingatkan bahawa negara hanya akan terus maju jika rakyat menolak politik sempit yang menjadi modal utama parti seperti PAS dan PN.
“Berbuat baik biarlah berpada-pada, berbuat jahat dan sebarkan fitnah jangan sesekali,” katanya lagi.