PAS mengecam siasatan polis terhadap editor MalaysiaNow Abdar Rahman Koya berhubung pendedahan portal berkenaan berkaitan skandal lesen cari gali mineral di Sabah yang melibatkan bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata tindakan menyiasat Rahman mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah adalah “berlebih-lebihan” dan satu ugutan terhadap kebebasan media.
“PAS melihat siasatan polis ini adalah agak berlebih-lebihan dan tampak lebih bertujuan intimidasi untuk mengunci mulut media daripada mendedahkan dakwaan salah laku melibatkan agensi kerajaan dan pihak berkepentingan tertentu.
“Kepantasan siasatan dan hakikat bahawa pihak-pihak yang didakwa terlibat telah pun mengambil tindakan masing-masing menolak laporan media itu sama ada melalui penjelasan, penafian dan saman sivil terhadap Abdar Rahman dan portal berita yang diketuainya menyebabkan siasatan polis yang dijalankan boleh dianggap tidak mendesak atau perlu,” katanya.
Takiyuddin membuat perbandingan antara kes terhadap Rahman dan penahanan SPRM terhadap wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar awal tahun ini berhubung laporan yang dibuat oleh pihak yang didakwa terlibat dalam kartel penyeludupan pekerja asing, yang dakwaan kegiatannya telah didedahkan oleh Nantha dalam laporan berita.
Dia menegaskan bahawa agensi penguatkuasaan undang-undang harus menumpukan siasatan mereka terhadap dakwaan kegiatan haram yang didedahkan wartawan dan bukannya menyasarkan mereka.
“Ini lebih-lebih lagi apabila siasatan dimulakan berikutan laporan
yang dibuat oleh pihak-pihak berkepentingan langsung dalam kedua-dua kes.
“Turut ditegaskan juga bahawa tindakan sebegini oleh badan penguat kuasa boleh dilihat sebagai langkah mundur yang bertentangan dengan peranan wartawan dan media sebagai tonggak penting demokrasi, prinsip kebebasan bersuara serta semak dan imbang,” katanya.
Pada 12 Ogos, dilaporkan bahawa Rahman telah dipanggil untuk disoal siasat polis selepas MalaysiaNow mendedahkan skandal itu.
Menurut peguamnya Rajesh Nagarajan, Rahman sedang disiasat atas dakwaan pendedahan maklumat jenayah dan fitnah jenayah.
Farhash, yang menafikan dakwaan yang disiarkan oleh MalaysiaNow, telah memfailkan saman sivil terhadap portal itu dan Rahman, menuntut ganti rugi RM10 juta.