PAS mengecam tindakan penahanan tidak sah dan tidak berlegitimasi terhadap 23 rakyat Malaysia bersama peserta antarabangsa dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera Israel ketika mereka dalam perjalanan menghantar bantuan ke Gaza.
Misi GSF merupakan usaha antarabangsa melibatkan 500 aktivis, termasuk rakyat Malaysia, bagi memecahkan sekatan Gaza dan menghantar bantuan kemanusiaan.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan mengadakan sidang khas parlimen pada 6 Okt bagi membolehkan isu itu serta perkara berkaitan dibahaskan.
“Sehubungan itu PAS mendesak Kerajaan Malaysia supaya segera mengadakan sesi khas sempena sidang parlimen yang akan bermula 6 Oktober ini bagi membolehkan insiden ini dan isu-isu berkaitan dibahaskan, sekali gus membolehkan satu ketetapan rasmi Parlimen Malaysia dibuat sebagai suara kolektif seluruh rakyat Malaysia oleh para wakil rakyat mereka,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin turut mendesak Kementerian Luar Negeri melalui Wisma Putra bertindak segera memastikan keselamatan serta pembebasan mereka yang ditahan.
Katanya lagi, tindakan Israel menahan mereka jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva, selain mencabar usaha kemanusiaan global yang dijamin oleh konvensyen antarabangsa.
Pada masa sama, dia berkata Malaysia perlu memainkan peranan utama di peringkat serantau dengan mendesak badan antarabangsa supaya Israel dipertanggungjawabkan.
“Kerajaan Malaysia mesti menjadi peneraju di peringkat serantau dengan menggesa Asean, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menekan Israel agar menghentikan sekatan serta ancaman terhadap misi kemanusiaan yang sah,” katanya.

Takiyuddin menegaskan Parlimen Malaysia tidak boleh berdiam diri terhadap isu ini.
“Solidariti kemanusiaan dan pembelaan hak rakyat Palestin adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang kepercayaan,” katanya.
Aktivis ditahan dapat bantuan guaman
Aktivis yang ditahan Israel dalam misi GSF semalam telah mendapat akses guaman melalui Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) bagi pendengaran perintah tahanan dan pengusiran mereka, kata peguam Fahmi Abd Moin.

Fahmi yang juga sebahagian daripada pasukan peguam Centre for Human Rights Research and Advocacy (Centhra) memberitahu Malaysiakini bahawa mereka memantau rapat situasi berkenaan sambil berhubung terus dengan Adalah.
Dia berkata antara kebimbangan utama dari segi undang-undang melibatkan wakil Malaysia isu dokumentasi, memandangkan Malaysia tidak mengiktiraf negara Israel.
Selain Fahmi, empat lagi peguam – Azril Amin, Kheizwan Kamaruddin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan – turut membantu wakil Malaysia dalam hal guaman serta bertindak sebagai pemerhati bagi misi ini.
Sekitar jam 10.45 malam waktu Malaysia semalam, GSF memaklumkan pihak imigresen Israel telah memulakan prosiding pengusiran dan tahanan ke atas peserta di Pelabuhan Ashdod tanpa sebarang notis awal kepada peguam, malah peserta turut dinafikan akses kepada peguam bela.

Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan, pada kenyataan hari ini berkata pihaknya sedang memantau perkembangan rapat situasi itu.
Kedutaan AS setuju terima memorandum
Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur bersetuju menerima memorandum daripada Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim selepas cubaan keduanya untuk menyerahkan dokumen itu.
Semalam, wakil kedutaan dilapor enggan menerima dokumen berkenaan atas alasan keselamatan ketika Kamil cuba menyerahkannya sewaktu protes anti-Israel di luar kedutaan. Susulan itu, Kamil mengumumkan akan mencuba sekali lagi hari ini.

Dalam jemputan ringkas kepada media untuk membuat liputan penyerahan memorandum tersebut, pihak media dimaklumkan kedutaan telah menghubungi Kamil dan mengesahkan kesediaan mereka menerima dokumen berkenaan.
Dalam kenyataan kemudian, Kamil berkata memorandum itu menuntut pertanggungjawaban segera daripada AS berhubung tindakan Israel memintas dan menahan misi GSF yang disertai aktivis antarabangsa serta sukarelawan Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Tuntutan itu termasuk pembebasan segera tanpa syarat semua aktivis dan sukarelawan, serta penghentian sokongan politik, kewangan dan ketenteraan tanpa syarat oleh AS terhadap penindasan Israel ke atas rakyat Palestin.
Kumpulan itu turut menuntut AS menegakkan undang-undang antarabangsa melalui mekanisme pertanggungjawaban di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) – badan kehakiman utama PBB yang menyelesaikan pertikaian antara negara – serta Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mendakwa individu atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Sejak semalam, sekitar empat demonstrasi menggegarkan Kuala Lumpur menuntut Amerika Syarikat – sekutu rapat Israel – mengambil tindakan. Satu lagi demonstrasi besar-besaran turut dirancang berlangsung esok.






