PARLIMEN | Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas) mendesak pihak berkuasa untuk segera membuka siasatan menyeluruh berhubung dakwaan klip video melibatkan seorang ketua cabang PKR yang dikatakan membincangkan hal ehwal kewangan parti.
Ketua Penerangan PAS itu mendedahkan dia baru sahaja menerima jawapan rasmi daripada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkenaan isu yang dibangkitkannya sebelum ini.
“Saya baru sahaja menerima jawapan rasmi daripada menteri dalam negeri di Dewan Rakyat berhubung isu yang saya bangkitkan melibatkan satu video tular semasa pemilihan PKR baru-baru ini.
“Namun, jawapan yang diberikan oleh menteri dalam negeri menyimpulkan isu ini sebagai sekadar ‘isu pengauditan dalaman dan pentadbiran organisasi parti’.
“Ini adalah satu kenyataan yang sangat mengecewakan dan seolah-olah cuba memperkecilkan isu yang sebenarnya jauh lebih besar dan berisiko tinggi kepada integriti kepimpinan negara,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.
Tegas Fadhli, isu ini perlu dipandang serius kerana membabitkan kemungkinan pelanggaran undang-undang negara berhubung pembiayaan politik haram.
“Saya menuntut supaya satu siasatan menyeluruh dan bebas segera dilakukan oleh SPRM dan PDRM, tanpa mengira kedudukan mana-mana individu,” katanya lagi.
Dia juga mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk tampil menjelaskan secara terbuka sama ada benar wujudnya dana seperti yang didakwa atau tidak, serta mendedahkan identiti pemberi dan penerima sebenar.
Terdahulu, Ketua Cabang PKR Wangsa Maju, Lai Chen Heng, mengecam sebuah klip video yang telah tular dan didakwa menunjukkan dirinya sedang membincangkan soal dana politik PKR.
Klip video berkenaan tersebar luas di media sosial dan dikatakan memaparkan Lai menyentuh mengenai sumbangan kewangan yang diterima cabangnya daripada seorang ahli perniagaan terkenal. Dana itu digambarkan sebagai “tidak diaudit” dan dikaitkan dengan seorang tokoh politik kanan.
Mengulas lanjut, Fadhli berkata kes itu tidak seharusnya dianggap sebagai isu dalaman parti semata-mata kerana ia berpotensi melibatkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
“Maka, kenyataan terbuka yang dibuat oleh Ketua Cabang PKR tersebut perlu dipandang serius kerana ia menyentuh kemungkinan pelanggaran undang-undang oleh pemberi dana yang didakwa bersumberkan harta haram.
“Perkara ini bukan sesuatu yang boleh dianggap selesai dengan hanya mengambil tindakan disiplin terhadap penerima kedua, sedangkan pengatur utama dana tidak langsung disentuh,” katanya.
Tambahnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini telah mengambil tindakan dalam beberapa kes pendanaan politik, termasuk melibatkan Ahli Parlimen Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang disiasat berhubung dana parti berjumlah RM250,000.
Fadhli turut membandingkan isu ini dengan kes membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak, yang didakwa atas penerimaan dana politik daripada sumber luar, termasuk dana berkaitan SRC International.