KUALA LUMPUR: Kerajaan dipersoal berhubung ketelusan pelan pemulangan aset Lembaga Tabung Haji (TH) daripada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) yang sehingga kini masih kabur walaupun sudah enam tahun berlalu sejak penubuhan entiti itu.
Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, beban kewangan UJSB dilihat semakin meningkat sekali gus menimbulkan persoalan sama ada objektif asal penubuhannya benar-benar tercapai.
Beliau turut mengingatkan bahawa UJSB ditubuhkan pada era kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 pada Disember 2018 kononnya bagi memulihkan kedudukan kewangan Tabung Haji.
Namun katanya, sehingga kini tiada pelan penebusan dan pemulangan aset yang jelas diumumkan kepada rakyat.
“Kita perlu bercakap jujur. UJSB diwujudkan untuk menyelamatkan Tabung Haji. Aset bernilai RM9.7 bilion termasuk pegangan dalam 106 syarikat tersenarai, 29 hartanah, beberapa hotel dan ladang telah dipindahkan kepada UJSB.
“Sebagai balasan, UJSB menerbitkan dua sukuk bernilai RM19.6 bilion dan membayar RM300 juta secara tunai kepada Tabung Haji. Tetapi jumlah ini bukan keuntungan, ia adalah hutang yang mesti ditebus semula,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Ahmad Marzuk, laporan itu menunjukkan komitmen jaminan kerajaan terhadap UJSB meningkat kepada RM23.815 bilion pada 2024, naik hampir RM700 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Namun, selepas enam tahun, hanya sekitar RM400 juta atau dua peratus daripada nilai sukuk tersebut ditebus semula, manakala baki RM19.2 bilion masih belum dijelaskan.
“Nilai aset semasa UJSB hanya sekitar RM9.7 bilion, mewujudkan jurang hampir RM9.5 bilion antara jumlah sukuk diterbitkan dengan aset sebenar.
“Bagaimana UJSB akan menebus sukuk menjelang tempoh matang pada 2026 dan 2029? Siapa akhirnya akan menanggung jurang ini? UJSB, Tabung Haji atau rakyat sebagai pembayar cukai?” soalnya.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 September 2023 pernah mengumumkan hasrat kerajaan untuk memulangkan semula aset Tabung Haji yang kini dipegang UJSB, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula memberi jaminan rundingan akan dimuktamadkan pada suku pertama tahun ini.
“Sekarang sudah bulan Oktober. Suku pertama telah lama berlalu, tetapi masih tiada pelan tindakan, tiada pelan pembiayaan dan tiada tarikh pemulangan aset yang sebenar. Janji tinggal janji,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Marzuk turut menegur dasar kerajaan terdahulu yang didakwa menjual sebahagian besar ladang milik Tabung Haji Plantation pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran yang disifatkan sebagai tindakan merugikan umat Islam.
“Ini ibarat menjual angsa yang bertelur emas. Ketika kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih, kita batalkan penjualan itu dan memulihkan semula ladang berkenaan. Tapi sekarang, kita pun tidak tahu apa status sebenar aset-aset ini,” katanya. – UTUSAN





