PETALING JAYA: Empangan Bukit Merah, Gunung Semanggol, Perak berada pada tahap kritikal dengan penggunaan air hanya berbaki 12.21 peratus.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, paras kedalaman air juga mencatatkan paras membimbangkan iaitu 19.80 kaki sejak Monsun Barat Daya melanda negara.
Katanya, situasi tersebut sekaligus menjejaskan penggunaan untuk ribuan penduduk di kawasan yang menerima sumber dari kawasan tadahan itu.
“Bantuan segera daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi melaksanakan pembenihan awan amat diperlukan disebabkan kawasan persekitaran seperti sawah padi dan keperluan air domestik mengalami penyusutan air yang agak ketara.
“Laporan MetMalaysia memperlihatkan kesahihan perkara itu dan kita telah membawa 6,000 liter larutan garam Natrium Klorida di dalam empat tangki besar untuk disemburkan di sekitar kawasan,” katanya.
Terdahulu, beliau menyertai Operasi Pembenihan Awan (OPA) dengan menaiki sebuah pesawat milik TUDM jenis C-130 Hercules di Pangkalan Udara TUDM Subang, semalam
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, operasi pembenihan awan itu berjaya apabila hujan lebat berlaku 45 minit selepas operasi tersebut.
Katanya, operasi penyemburan larutan garam dilaksanakan pada awan Kumulus Menara yang bergerak dari arah Barat dan Selat Melaka menuju ke kawasan utara Semenanjung Malaysia.
“Sebelum saya kembali ke Pangkalan Udara TUDM Subang, (kami terima) laporan daripada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) 45 minit setelah semburan itu dilakukan hujan lebat telah berlaku.
“Jadi usaha saintifik dan dengan pertolongan Allah SWT, kita harap pengairan sawah padi di kawasan itu, perikanan dan mitigasi air dapat diatasi,” ujarnya lagi.-UTUSAN