Papan Kekunci Mekanikal Predator Aethon 550 Diperkenalkan – Hadir Dengan Banyak Ciri Penyesuaian
Nazrin
Salah satu produk baru yang diperlihatkan sewaktu acara pengumuman next@Acer pada tahun ini ialah papan kekunci mekanikal terbaru mereka dibawah jenama Predator, iaitu Predator Aethon 550 yang memperlihatkan rekaan menarik dan juga sejumlah fungsi yang membolehkan pengguna menyesuaikan papan kekunci ini untuk menjadi aksesori unik kepada diri mereka.

Pertama, Predator Aethon 550 ini hadir dengan rekaan Tenkeyless, bermakna bahawa ia tidak mempunyai bahagian numpad untuk rekaan yang lebih padat. Papan kekunci ini merupakan model pertama daripada Acer yang hadir dengan sokongan hotswap, dimana pengguna boleh mencabut suis-suis papan kekunci ini dan menukar pilihan suis merah (linear) dan biru (tactile), dan juga pilihan-pilihan suis lain yang mungkin mereka miliki. Papan kekunci ini juga hadir dengan penutup suis WASD dengan rekaan berlainan untuk menyerlahkan keunikan papan kekunci ini.

Papan kekunci ini juga hadir dengan tiga mod sambungan, termasuklah mod berwayar (kabel USB Type-C) dan mod nirwayar yang menggunakan sambungan Bluetooth dan juga WiFi, bergantung kepada keperluan pengguna. Dari segi bateri, Acer mengatakan bahawa Predator Aethon 550 mempunyai jangka hayat bateri sehingga 150 jam bergantung kepada cara penggunaan.

Ia juga hadir dengan ciri pencahayaan setiap kunci yang boleh diubahsuai melalui perisian ataupun menggunakan ciri pengubahsuaian pencahayaan terbina Windows Dynamic Lighting yang terbina didalam sistem operasi Microsoft Windows 11.
Papan kekunci Predator Aethon 550 ini akan diperkenalkan di pasaran-pasaran terpilih tidak lama lagi.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.