Sebuah unit pangsapuri di Residensi Adelia, Persiaran Bangi Avenue di Kajang, Selangor musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran yang turut melibatkan penemuan mercun, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.42 malam.
Ekoran itu, katanya, 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dan Semenyih dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis apartmen berkeluasan 60×20 kaki persegi.
“Dia turut melaporkan terdapat mercun ditemui di seluruh kawasan rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Mukhlis, api berjaya dikawal pada jam 11.19 malam dan tiada sebarang mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.
– Bernama






