Malaysia Oversight

Pandikar buat pusingan U, akui hanya ulang sentimen Kitingan

By MkiniBM in August 3, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Pandikar Amin Mulia dilihat melunakkan retorik politiknya apabila menyatakan sokongan terhadap rancangan Ketua Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor untuk bekerjasama dengan PH.

Pandikar menjelaskan kenyataan tegasnya sebelum ini yang menyarankan agar GRS bergerak secara solo adalah cerminan pandangan Presiden Star, Jeffrey Kitingan dan bertujuan menilai sokongan akar umbi.

“Saya akui memperkuatkan sentimen Kitingan bahawa kerjasama dengan parti-parti dari Semenanjung seolah-olah satu bentuk pengkhianatan.

“Sentimen ini turut kedengaran semasa siri jelajah politik Usno yang bertujuan menilai sokongan rakyat Sabah terhadap parti tempatan seperti Usno atau GRS yang bergerak sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, maklum balas yang diterima daripada siri jelajah itu menunjukkan walaupun ramai rakyat Sabah lebih cenderung agar GRS bergerak secara solo, terdapat juga sokongan yang besar supaya perseteruan politik dengan persekutuan dielakkan.

Sebelum ini, Pandikar merupakan tokoh dalam GRS yang lantang menyuarakan kritikan dan pernah memberi amaran bahawa gabungan itu berisiko terlalu terpengaruh dengan politik Persekutuan, malah mempertimbang untuk keluar dari GRS.

‘Rumah kita, kita jaga’

GRS berdepan cabaran dalam memperjuang autonomi politik negeri, terutamanya selepas Hajiji secara rasmi mengumumkan kerjasama dengan PH.

Kini, Pandikar menyatakan komitmen Usno kepada GRS dan menyokong pendekatan Hajiji dalam menjalin kerjasama di peringkat Persekutuan sebagai langkah pragmatik untuk mengekalkan kawalan gabungan itu.

“Hajiji telah berbincang secara peribadi dengan saya dan memberi jaminan bahawa GRS akan meletakkan calon di lebih 50 kerusi, selari dengan slogan gabungan: ‘Rumah kita, kita jaga’,” katanya.

Malaysiakini masih berusaha mendapatkan maklum balas Kitingan berhubung kenyataan Pandikar.

Salah satu komponen GRS, Parti Bersatu Sabah (PBS) turut menyokong rancangan untuk bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.

Perkembangan itu susulan seruan agar GRS bertanding secara bebas semasa konvensyen bersama pertama antara PBS dan Star yang diadakan pada 12 Julai lalu di Penampang.

Kedua-dua parti itu kini juga sedang meneroka kemungkinan untuk bergabung.



Source link