Oppo Find X kini melangkah ke generasi kelapan dengan pelancaran model terbaharu Find X9. Meskipun penomboran ini mungkin menimbulkan kekeliruan bagi sesetengah pihak, ia sebenarnya meneruskan kesinambungan daripada generasi kelima memandangkan mereka pernah melangkau penjenamaan generasi keempat. Sepanjang evolusinya, siri Find X telah menjadi ruang eksperimen bagi Oppo untuk memperkenalkan pelbagai teknologi baharu yang unik.

Menjelang pelancarannya di Malaysia, saya berpeluang melihat sendiri siri Find X9 dengan lebih awal. Pengalaman ini membolehkan saya menilai dengan lebih dekat aspek fizikal dan rekaan peranti tersebut. Buat masa ini, saya hanya dapat berkongsi mengenai rekaan luaran kerana kebanyakan ciri utama bagi model pasaran ini masih belum boleh didedahkan kepada umum.
Seperti biasa, dua model akan ditawarkan kepada pengguna iaitu Find X9 dan Find X9 Pro. Perkara yang paling mencuri perhatian kali ini ialah rekaan baharu yang tidak lagi menggunakan kemasan melengkung. Sebaliknya, kedua-dua model hadir dengan reka bentuk berkotak dan rata sepenuhnya di hadapan dan belakang.

Rekaan ini bukan sahaja selesa dipegang tanpa menyakitkan tangan, malah empat lengkungan minimalis di setiap penjuru turut membantu memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik. Walaupun pendekatan ini telah digunakan pada Find X8 sebelum ini, kini Oppo menggunakan sepenuhnya rekaan tersebut pada kedua-dua versi Find X9.

Rekaan skrin berkotak juga memudahkan pengguna mencari pelindung skrin di samping membantu mengurangkan isu kandungan yang melimpah dari paparan. Hasilnya, paparan kelihatan lebih kemas dan imersif. Walau bagaimanapun, pilihan reka bentuk ini masih tetap bergantung kepada cita rasa dan keselesaan setiap pengguna sendiri.

Penggunaan kemasan pusam sebagai komponen utama boleh membantu mengurangkan kesan kotoran cap jari yang mudah kelihatan pada permukaan peranti. Selain itu, ia juga kelihatan menarik kerana tidak terlalu berkilau terutama apabila terkena pantulan cahaya. Namun begitu, pilihan kemasan ini bergantung kepada cita rasa individu memandangkan ia bersifat subjektif. Ada yang menyukainya manakala ada juga yang lebih gemar kemasan berkilat.

Terdapat beberapa pilihan warna ditawarkan dan antara yang paling mencuri perhatian ialah warna Velvet Red pada Find X9 seperti yang saya pegang ini. Warnanya mengingatkan saya kepada model Vivo V50 Encora Red tetapi versi Oppo ini kelihatan lebih menyerlah serta tidak terlalu terang seperti Vivo. Oppo nampaknya memilih tona warna yang sederhana dan sedap mata memandang khususnya bagi pengguna wanita.

Sekiranya anda beranggapan warna peranti akan tertutup apabila menggunakan sarung pelindung, anda sebenarnya silap. Ini kerana Oppo turut menyertakan sarung pelindung dengan warna yang sepadan dengan tubuh peranti sekali gus menjadikan warna asal tetap kelihatan. Pendekatan ini pernah digunakan oleh Oppo sebelum ini terutamanya pada model Find N3 di mana kerangka dan tubuh peranti hadir dalam warna yang sama untuk penampilan yang lebih seragam.

Model Pro juga menarik dalam kelasnya dan masih mengekalkan rasa premium yang menjadi identiti siri Find X. Rekaan dan kemasan digunakan memberi sentuhan elegan tanpa berkompromi pada kualiti. Seperti biasa, bahagian belakang peranti turut menempatkan penjenamaan Oppo sebagai identiti utama.

Memegang kedua-dua peranti tidak menunjukkan perbezaan yang ketara dari segi fizikal. Kedua-duanya menggunakan bonggol kamera berbentuk segi empat yang menandakan perubahan rekaan daripada bonggol bulat yang digunakan sejak Find X6 kepada gaya yang lebih menyerupai siri Reno terkini.

Perubahan ini mungkin selari dengan trend semasa memandangkan ramai pengguna lebih cenderung kepada peranti dengan rekaan kamera petak. Namun begitu, jika diperhatikan dengan lebih teliti, satu-satunya perbezaan rekaan antara kedua-dua model ialah pada versi Pro yang menggunakan salah satu sensor berbentuk segi empat.

Perkara ini memberi petunjuk bahawa versi Pro berpotensi menawarkan kebolehan zum yang lebih tinggi. Tidak mengejutkan kerana kebanyakan pengeluar hari ini turut memberi tumpuan kepada teknologi telephoto dengan kemampuan zum jarak jauh. Skrin hadapan masih mengekalkan rekaan berlubang di bahagian tengah untuk kamera swafoto.

Pada tahun ini, Oppo menyatakan bahawa mereka telah berjaya mengecilkan bezel di kesemua bahagian peranti. Saiz bezel ini adalah lebih kecil berbanding model Find X8 sebelum ini, sekali gus memberikan paparan yang lebih luas dan pengalaman paparan yang lebih imersif.
Find X9 dan Find X9 Pro masih mengekalkan susun atur butang standard seperti peranti yang terdahulu dengan butang kuasa serta laras audio yang terletak di sebelah kanan. Sementara itu, sebelah kiri kedua-dua versi dilengkapi dengan Snap Key iaitu butang baharu yang membolehkan akses pantas ke ciri AI MySpace di mana satu sentuhan sahaja sudah cukup untuk menyimpan keseluruhan kandungan skrin.


Untuk versi Pro pula terdapat tambahan Quick Button yang turut telah dinaiktaraf yang membolehkan pengguna mengambil gambar dengan satu tap dan membuka aplikasi kamera dengan dua tap secara automatik.


Kedua-dua model menyokong ciri kalis air IP68 dan IP69 yang menjadikannya tahan lasak dalam pelbagai situasi. Selain itu ia turut dilengkapi dengan pengimbas cap jari ultrasonik 3D yang boleh digunakan walaupun tangan dalam keadaan basah yang sekali gus memudahkan proses membuka kunci dengan serta selesa.








Kesimpulan

Secara keseluruhan, Find X9 hadir dengan rekaan yang lebih kemas. Pada masa yang sama, ia membawa arah baharu yang cuba diketengahkan oleh Oppo dalam segmen peranti mercu dengan fokus terhadap inovasi dan pengalaman pengguna yang lebih baik. Maklumat lanjut mengenai prestasi dan ciri-ciri lain untuk model di pasaran tempatan akan saya kongsikan dalam artikel ulasan yang akan datang.






