Malaysia Oversight

Pandang Pertama Infinix NOTE Edge 5G – Bila Rekaan Jadi Keutamaan

By Amanz in January 27, 2026 – Reading time 6 minute
Pandang Pertama Infinix NOTE Edge 5G – Bila Rekaan Jadi Keutamaan


Edge? Hemm, kedengarannya seakan pernah didengari, namun sebenarnya ia bukanlah peranti daripada jenama Korea. Sebaliknya, Edge yang dimaksudkan ini merupakan peranti terbaharu keluaran Infinix. Hal ini demikian kerana tumpuan utama yang diberikan oleh Infinix terhadap model ini ialah reka bentuk yang nipis serta ringan.

Infinix NOTED Edge F

Selain itu, Infinix NOTE Edge turut menampilkan paparan yang terang dan bateri berkapasiti besar, sekali gus meningkatkan keselesaan penggunaan harian. Lebih menarik lagi, Edge hadir sebagai antara peranti awal yang menggunakan cip Mediatek Dimensity 7100, dan hal ini menjadikannya pilihan yang segar serta berdaya saing dalam pasaran telefon pintar masa kini.


Apa Dalam Kotak?

Kotak bungkusan Infinix NOTE Edge mempunyai dua elemen warna utama, iaitu hitam dan kelabu. Di bahagian tengah, jelas kelihatan nama model Infinix NOTE Edge bersama slogan World’s First Mediatek Dimensity 7100 5G Platform.

Apabila kotak dibuka, terdapat sebuah kotak tambahan yang mengandungi kerangka peranti, manual pengguna, jaminan waranti serta kad VIP. Selain itu, telefon pintar tersebut turut disertakan, dan unit yang saya terima hadir dalam warna Lunar Titanium. Di samping itu, kotak juga dilengkapi dengan kepala pengecas dan kabel, sekali gus melengkapkan pakej pembelian dengan aksesori yang diperlukan oleh pengguna.

Seperti kebiasaannya, Infinix turut menyediakan pelindung skrin secara berasingan yang membolehkan pengguna memasangnya sendiri sekiranya perlu. Saya menyarankan agar pelindung skrin ini dipasang terlebih dahulu kerana ia boleh menjadi ciri tambahan yang berguna untuk melindungi daripada calar sepanjang penggunaan harian.


Pengalaman Penggunaan

Pengalaman saya ketika memegang peranti ini pada mulanya terasa cukup biasa. Saya berkata dalam hati bahawa perasaan tersebut seakan sama seperti ketika memegang beberapa peranti daripada siri vivo V. Hal ini demikian kerana sejak beberapa tahun lalu, vivo menumpukan perhatian terhadap rekaan yang nipis, ringan dan selesa digenggam. Namun begitu, pengalaman tersebut ternyata berbeza apabila saya mengulas Infinix Note 50 Pro+. Model Infinix NOTE Edge terasa jauh lebih ringan dengan berat hanya 181 gram. Oleh itu, peranti ini sesuai digunakan setiap hari tanpa menimbulkan rasa terbeban pada tangan.

Infinix NOTED Edge D

Selain itu, peranti ini dilengkapi dengan paparan melengkung 3D yang saya rasakan tidak menimbulkan sebarang masalah ketika digunakan. Skrin berukuran 6.78 inci dengan resolusi 1.5K serta kadar segar semula 120Hz pula mampu memaparkan imej yang tajam, sekali gus menjadikan pengalaman menonton lebih memuaskan setakat ini. Di samping itu, Infinix NOTE Edge turut menyokong kandungan HDR yang kelihatan indah ketika menstrim video, dan hal ini memberikan nilai tambah yang ketara pada aspek hiburan. Saya juga mendapati sensor cap jari yang digunakan cukup responsif, sedangkan ciri sebegini jarang ditemui pada telefon kelas pertengahan dalam jenama yang terkenal dengan penawaran mesra bajet.

Infinix NOTED Edge C

Susun atur butang dan port standard adalah sama seperti beberapa peranti Infinix yang lain. Namun demikian, jika diteliti keseluruhan peranti, terdapat sebuah butang akses pantas yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna. Secara lalai, menekan lama pada butang ini akan membuka aplikasi kamera. Walau bagaimanapun, pengguna boleh menukar fungsi tersebut kepada pelbagai pilihan lain melalui tetapan. Dengan kata lain, fungsi butang ini adalah seakan sama seperti butang tambahan yang ditawarkan oleh beberapa pengeluar lain yang sudah sedia ada di pasaran.

Infinix NOTED Edge G
Infinix NOTED Edge E

Apabila dilihat pada bahagian belakang, pastinya ramai akan menyedari adanya elemen kacukan antara rekaan peranti dan Note50 Pro+. Dua bonggol kamera menegak kelihatan mirip seperti pada Note50 Pro+, namun tanpa tambahan dua bonggol lain. Seterusnya, bonggol kamera yang lebih lebar pula memperlihatkan pengaruh rekaan peranti , walaupun tidak begitu ketara secara keseluruhan. Tetapan kamera telefon ini merangkumi kamera utama 50MP (f/1.8) dan kamera swafoto sebesar 13MP.

Infinix NOTED Edge B

Ia turut dipadankan dengan Rear Dual Flash, di samping menawarkan pelbagai pilihan fotografi terbina seperti AI CAM, Portrait, Super Night, Video, Vlog, Slow Motion, Time Lapse dan lain-lain. Dari segi rakaman video, peranti ini menyokong resolusi sehingga 2K/30FPS untuk kamera hadapan dan belakang, manakala Slow Motion Mode boleh dirakam pada 720P/120FPS. Penggunaan penuh hanya akan didedahkan dalam z artikel ulasan akan datang di mana saya akan memberi pendapat penuh untuknya.


Perkakasan Dalaman

NOTE Edge menggunakan cip Mediatek Dimensity 7100 sekali gus menjadikannya antara peranti terawal dalam kelas pertengahan yang dilengkapi dengan cip tersebut. Cip ini dibina berasaskan teknologi 6nm dan difokuskan khusus untuk memberikan pengalaman harian yang lebih lancar dalam kategori peranti mampu milik. Beralih kepada aspek memori dan storan, peranti ini hadir dengan pilihan 8GB RAM serta storan dalaman 256GB. Ia turut disertakan dengan RAM Maya sehingga 8GB yang boleh diubah secara manual mengikut keperluan penggunaan masing-masing.

Infinix NOTED Edge A

Penggunaan awal tidak menunjukkan sebarang masalah atau kegagalan sistem, malah ia berfungsi dengan baik bersama skrin 120Hz yang disediakan. Cuma kelancarannya tidaklah setanding dengan beberapa peranti mercu yang pernah saya uji sebelum ini. Proses memuat turun beberapa aplikasi secara serentak juga mengambil masa yang agak panjang namun tidak berlaku sebarang kegagalan sistem.

Pun begitu, adalah tidak adil untuk membuat perbandingan secara langsung kerana peranti ini tergolong dalam kategori pertengahan. Dalam kelasnya, prestasi yang ditawarkan boleh dianggap memuaskan tanpa berlakunya sebarang kegagalan sistem. Pun begitu, peranti ini akan terus diuji dari masa ke semasa sehingga artikel ulasan penuh dikeluarkan kelak.

XOS 16 01

Selain itu, peranti ini menjalankan perisian XOS 16 berasaskan Android 16. Antara muka pengguna (UI) yang ditawarkan terasa hampir sama seperti iOS dengan ruang carian di bahagian bawah, berbeza dengan XOS 15 yang meletakkannya di bahagian atas. Peranti ini juga dilengkapi dengan ciri Active Halo Lighting yang menawarkan dua pilihan kesan cahaya, sama ada Random Play atau Fixed Effect.

Jika memilih Fixed Effect, terdapat tiga gaya pencahayaan iaitu Breath, Heartbeat dan Twinkle. Pilihan warna turut boleh diubah termasuk merah dan hijau. Selain itu, ia turut boleh ditetapkan masa serta tahap kecerahannya, di samping boleh digunakan untuk pelbagai perkara seperti permulaan permainan, dan notifikasi Folax.

XOS 16 02
XOS 16 03

Sokongan AI Toolkit terbina pula menawarkan fungsi yang pelbagai termasuk Problem Solving untuk menyelesaikan masalah matematik, Sound Recorder, Hi Translate dan Folax. Ciri-ciri lain yang disediakan termasuklah Multi-device Interconnection, kecerdasan berasaskan senario seperti Circle to Search, AI Auto-Answer, Call Summarization serta WhatsApp Call Translation.

Bagi aspek fotografi, terdapat aplikasi Photo Studio yang menyediakan fungsi Photo Cutouts untuk memotong subjek tertentu dalam imej secara pintar. Selain itu, terdapat juga Memories Album yang boleh menangkap memori indah dan menghasilkan album unik daripada galeri berdasarkan tema seperti orang dan landskap.


Kapasiti Bateri

Peranti ini dilengkapi oleh bateri berkapasiti 6500mAh bersama sokongan pengecasan pantas berwayar 45W. Dalam pada itu, ia turut menyokong pengecasan nirwayar 50W, di samping menawarkan fungsi Bypass Charging yang membolehkan tenaga daripada pengecas dihantar terus ke sistem telefon tanpa melalui bateri terlebih dahulu.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kepala pengecas bersama kabel turut disediakan dalam kotak pembelian. Setakat ini, saya mendapati baterinya mampu bertahan lebih daripada 8 jam dengan penggunaan Wi-Fi sepenuhnya. Walau bagaimanapun, ia akan terus diuji dalam beberapa sesi lagi sehingga ulasan penuh dikeluarkan kelak.


Pandangan Awal

Infinix NOTE Edge memberi penekanan terhadap rekaan peranti yang nipis, ringan dan dilengkapi dengan bateri berkapasiti besar. Pendekatan yang diambil oleh Infinix ini agak berbeza kerana kebanyakan jenama kini cenderung kembali kepada rekaan berkotak. Namun begitu, Infinix memilih untuk mengekalkan pendekatan peranti melengkung.

NOTE Edge KV

Pilihan ini tidak salah kerana ia masih kelihatan premium dalam kelasnya, malah cukup sesuai digunakan untuk kegunaan harian. Jenis binaannya juga boleh dianggap tahan dalam kategori pertengahan. Pada masa yang sama, minat terhadap rekaan sebegini adalah sesuatu yang subjektif dan bergantung kepada pertimbangan masing-masing. Untuk pengalaman prestasi menyeluruh termasuk hasil gambar daripada peranti ini, nantikan artikel ulasan penuh saya yang akan diterbitkan dalam masa terdekat.



Source link