Malaysia Oversight

Pandang Pertama ASUS ROG Xbox Ally X – Adakah Ini Pengganti Gaming PC Yang Ditunggu-Tunggu?

By Amanz in October 15, 2025 – Reading time 7 minute
Pandang Pertama ASUS ROG Xbox Ally X – Adakah Ini Pengganti Gaming PC Yang Ditunggu-Tunggu?


Pandang Pertama ASUS ROG Xbox Ally X – Adakah Ini Pengganti Gaming PC Yang Ditunggu-Tunggu?

October 15, 2025
Asus

Nazrin

Peranti yang pada awalnya diingatkan dikenali sebagai ASUS ROG Ally X 2 dan merupakan konsol gaming PC mudah-alih pertama tahun ini yang dilihat akan menggunakan cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme akhirnya diperkenalkan baru-baru ini dan dijenamakan semula sebagai ASUS ROG Xbox Ally X pada pertengahan tahun ini, dalam satu kerjasama bersama-sama Microsoft, yang dilihat telah memperkenalkan antaramuka khas baru melalui kemaskini sistem operasi Microsoft Windows 11 yang terbaru.

ASUS ROG XBox Ally X 23

Kami telah berpeluang untuk menggunakan konsol ASUS ROG Xbox Ally X ini selama seminggu, dan ini merupakan pandang pertama saya mengenainya, sebelum saya menambahkan pandangan saya mengenai konsol ini tidak lama lagi.

Spesifikasi

ASUS ROG Xbox Ally X
Skrin 7″ Full HD(1920×1200) IPS, 120Hz, Sesentuh
CPU AMD Ryzen Z2 Extreme
GPU AMD Radeon RDNA 2
RAM 24GB LPDDR5X-7500MHz 
Muatan Dalaman 1TB PCIe Gen4 
Kamera Utama Tiada
I/O 1x USB4 1x USB 3.2 Type-C 1x 3.5MM Audio 1x pembaca kad microSD
Bateri 80WHr (3 Sel) Pengecasan 65W
SIM/Telefoni Tiada
WiFi WiFi 6E
Bicu Audio Ya
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Tiada
Harga Jualan RM4299

Bermula dengan spesifikasi konsol ini, ASUS ROG Xbox Ally X seperti yang dijangka, dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme yang terbaru, dan menariknya, masih lagi setakat ini konsol pertama yang memasuki pasaran Malaysia yang menggunakan cip pemprosesan ini.

image 24

AMD Ryzen Z2 Extreme merupakan cip pemprosesan didalam keluarga CPU AMD Strix Point yang menggunakan teras AMD Zen 5 yang digunakan dalam siri CPU AMD Ryzen 9000 terbaru. Komponen CPU ini dikatakan memperlihatkan prestasi yang boleh dikatakan lebih hebat berbanding sebelum ini, yang mana bagi saya ada juga kebenarannya, dan saya akan jelaskan dengan lebih lanjut di bawah.

Dari segi memori dan storan pula, konsol ini tampil dengan 24GB memori LPDDR5X dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1.0TB yang boleh dinaiktarafkan ke storan yang lebih besar menggunakan storan SSD M.2 2280 bersaiz penuh sekiranya anda memerlukan storan yang lebih banyak.

batch ASUS ROG XBox Ally X 2

Konsol ini juga mengekalkan penggunaan paparan skrin IPS bersaiz 7.0 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 120Hz yang sama seperti apa yang diperlihatkan pada konsol ASUS ROG Ally sebelum ini.

Untuk sambungan palam, konsol ini merumahkan satu palam USB4 Type-C dan satu palam USB 3.2 yang mana kedua-dua palam menyokong sambungan pengecasan PowerDelivery 3.0, sambungan ke paparan skrin melalui DisplayPort 2.1. Untuk sambungan nirwayar, konsol ini tampil dengan sokongan untuk sambungan WiFi 6E dan Bluetooth 5.2.

batch ASUS ROG XBox Ally X 8

Bercakap mengenai pengecasan, ASUS ROG Xbox Ally X juga hadir dengan batteri 80Wh yang lebih besar dan boleh dicas menggunakan palam dan kabel pengecasan yang menyokong pengecasan 65W. Kali ini, ASUS juga menyertakan dermaga pengecasan kecil untuk memudahkan proses pengecasan tersebut.

Rekaan

Walaupun konsol ASUS ROG Xbox Ally X hadir dengan saiz paparan yang sama, saiz ROG Xbox Ally X adalah tidak sama kerana rekaan pemegang kawalan yang membuatkannya hadir dengan saiz yang lebih besar.

batch ASUS ROG XBox Ally X

Selain daripada itu, susun-atur butang dan kawalan arah konsol ini masih lagi hadir dengan kedudukan yang sama. Pada pendapat saya, perubahan ini menjadikan konsol ini lebih mudah dipegang dan diangkat berbanding dengan konsol ASUS ROG Ally sebelum ini dan sedikit sebanyak membantu dalam menjadikan pengalaman gaming dengan konsol sebegini lebih selesa.

Walaupun begitu, saya akan mengatakan bahawa rekaan ini menjadikan bingkai paparan konsol ini kelihatan lebih tebal, dan secara langsung menyebabkan paparan 7.0 inci tersebut juga kelihatan lebih kecil berbanding sebelum ini.

batch ASUS ROG XBox Ally X 5

Satu lagi tambahan yang anda akan lihat ialah butang Xbox di bahagian tepi kiri konsol ini, yang boleh digunakan untuk mengakses antaramuka Xbox Mode dengan cepat. Selain daripada itu, butang Armory Crate juga masih dikekalkan sekiranya anda lebih biasa menggunakan perisian tersebut.

Perisian

Seperti yang dikatakan dalam perenggan pertama, konsol ini akan menggerakkan sistem operasi Microsoft Windows 11, tetapi untuk model ini, kerjasama dengan Microsoft dapat diperlihatkan dengan jelas, kerana ia juga merupakan konsol pertama yang akan menggunakan antaramuka Xbox Mode secara lalai.

batch ASUS ROG XBox Ally X 23

Ini bermakna bahawa apabila konsol diaktifkan, ia tidak akan menggunakan antaramuka Windows 11 selagi anda tidak mahu menggunakannya. Xbox Mode boleh digunakan dengan cara sama seperti perisian Armory Crate, yang membolehkan anda mengakses permainan-permainan yang dibeli dan dimuat-turun dari pelbagai gedung permainan digital, termasuklah Steam, Battle.net, Epic Games Store dan sebagainya.

batch ASUS ROG XBox Ally X 25

Seperti yang dikatakan, Armory Crate juga masih hadir pada konsol ini dan boleh digunakan sekiranya anda lebih biasa dengan perisian tersebut. Pada pendapat saya, Armory Crate sesuai digunakan untuk anda mengemaskini perisian pemandu yang lebih berkaitan dengan cip pemprosesan, cip grafik dan prestasi gaming konsol tersebut, manakala antaramuka Xbox Mode lebih sesuai untuk mengemaskini sistem operasi dan juga untuk mengakses pelbagai tetapan Windows 11 pada konsol ini.

Pengalaman Pengguna

Apabila anda mengaktifkan konsol ini buat pertama kalinya, anda akan dimasukkan terus ke antaramuka Xbox Mode Windows 11 dan tidak akan memasuki bahagian desktop. Jika anda mahu menggunakan sistem operasi Windows 11 untuk apa-apa jenis tujuan, ia masih boleh diakses dengan mudah dan cepat.

batch ASUS ROG XBox Ally X 12

Seperti yang saya katakan, Xbox Mode juga boleh digunakan untuk mengakses gedung-gedung pembelian permainan digital, dan bukan itu sahaja, anda turut boleh menuras permainan-permainan yang telah dipasang pada konsol mengikut gedung yang dibeli dan dimuat-turun sekiranya perlu.

batch ASUS ROG XBox Ally X 26

Tetapan-tetapan tambahan seperti memperlihatkan aktiviti konsol dari segi penggunaan tenaga bateri, kadar bingkai dan sebagainya masih lagi memerlukan bantuan oleh perisian Armory Crate, tetapi ASUS telah berjaya untuk melakukannya tanpa mengacau fungsi-fungsi yang hadir pada Xbox Mode.

batch ASUS ROG XBox Ally X 27

Jadi sehingga kini, anda pasti akan bertanya, bagaimanakah prestasi konsol ASUS ROG Xbox Ally X ini? Dalam beberapa hari penggunaan ini, saya akan katakan bahawa prestasi olahan grafik konsol ini tidak begitu berbeza dengan apa yang ditawarkan pada konsol generasi yang lepas.

Akan tetapi, saya akan katakan bahawa kelebihan konsol ini hadir dari segi kestabilan kadar bingkai yang diperlihatkan, disamping kecekapan dalam penggunaan kuasa bateri konsol. Ini bermakna bahawa walaupun prestasi olahan grafik konsol ini tidak begitu berbeza berbanding dengan model sebelum ini, ia masih lagi satu pembaikan yang baik dari segi prestasi keseluruhan konsol.

batch ASUS ROG XBox Ally X 15

Sebagai contoh, saya telah main permainan Death Stranding yang dibangunkan oleh Kojima Productions untuk beberapa hari yang lepas. Tetapan grafik yang saya gunakan ialah resolusi Full HD dengan tetapan medium dengan fungsi Ray-tracing dan FSR (Fidelity Super Resolution) dipasangkan untuk memanfaatkan ciri kecerdasan buatan dengan mengolah bingkai permainan menggunakan bantuan sistem AI yang terbina.

Dengan tetapan ini, dan pilihan kuasa ditetapkan pada Auto, saya mendapati bahawa kadar bingkai permainan stabil pada tahap 50-60FPS dan penggunaan kuasa memasuki mode 18W-26W bergantung kepada adegan dan babak permainan.

batch ASUS ROG XBox Ally X 16

Dari segi penggunaan bateri pula, tinjauan awal saya mendapati bahawa penggunaan bateri 80Wh yang lebih besar juga membantu dalam memberikan jangkahayat bateri yang lebih lama. Dengan permainan sama ini, saya boleh mendapatkan kira-kira 2 jam 30 minit dengan beberapa tetapan lain juga diubah, seperti nilai kecerahan paparan diturunkan sedikit ke 50 peratus dan mengehadkan olahan kadar bingkai lagi.

Bagi saya, menggerakkan permainan dengan olahan grafik kompleks seperti Death Stranding dengan stabil seperti ini adalah satu pencapaian yang sangat baik kerana ia bermakna bahawa jenis-jenis permainan komputer yang boleh dimainkan oleh konsol ini akan bertambah, dan ia secara teknikalnya kini cukup berkuasa untuk dilihat sebagai sebuah peranti pengganti komputer.

batch ASUS ROG XBox Ally X 20

Satu lagi perubahan ketara yang saya dapat dengar pada konsol ini ialah penggunaan sistem pembesar suara baru. Apabila saya memainkan Death Stranding dan juga Hollow Knight: Silksong, saya perasan bahawa kualiti audio yang diperdengarkan bukan sahaja lebih lantang, tetapi memperdengarkan kualiti yang lebih mendalam.

batch ASUS ROG XBox Ally X 19

Buat masa ini saya tidak begitu pasti apakah yang diubah pada konsol ini untuk menjadikan kualiti audio semakin baik, tetapi pada saya ia adalah satu perubahan yang pastinya akan diterima baik oleh semua para pengguna konsol ini.

Sistem penyejukan konsol ini juga pada pendapat saya semakin baik, dengan gabungan cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme yang tidak begitu panas dan rekaan rangka belakang yang mampu mengalirkan haba ke dalam dan keluar konsol dengan lebih cekap.

batch ASUS ROG XBox Ally X 24

Walaupun dengan permainan Death Stranding, saya dapati bahawa suhu CPU berada sekitar 60-70 darjah Celcius, yang mana ia cukup baik sekali untuk konsol dengan prestasi sebegini. Untuk banyak permainan lain, jangkaan saya ialah melainkan anda menggerakkan permainan seperti Cyberpunk 2077, Death Stranding, God of War dan sebagainya yang memerlukan kuasa pemprosesan tinggi, suhu peranti tidak sepatutnya menjadi masalah untuk anda.

batch ASUS ROG XBox Ally X 9

Jika ada satu perkara negatif buat masa ini untuk saya, ia adalah berkaitan dengan saiz konsol ini. Walaupun ia hadir dengan paparan saiz sama seperti konsol ROG Ally sebelumnya, ROG Xbox Ally X ini hadir dengan saiz yang sedikit lebih panjang dan lebih berat berbanding sebelum ini.

Bagi saya, ini adalah satu isu kerana ia bermakna bahawa konsol ini lebih penat untuk dipegang dan diangkat jika saya mahu gaming untuk jangkamasa yang lama (1-2 jam). Mungkin ini adalah satu isu yang hanya membelenggu saya, tetapi saya masih akan mengatakan bahawa saiz konsol ini terlalu besar untuk saiz skrin yang ditawarkan.

batch ASUS ROG XBox Ally X 20 1

Dalam pada itu, anda juga akan perlu mencari aksesori menyimpan konsol yang baru, kerana perubahan rekaan baru ini adalah agak berbeza berbanding dengan ROG Ally X sebelum ini.

Penutup

Artikel pandang pertama ini akan dikemaskini kelak sebagai artikel ulasan lengkap dengan pendapat-pendapat lain dan juga skor penanda-aras prestasi konsol. Buat masa ini, pendapat saya mengenai konsol ini adalah sangat baik sekali, walaupun dengan satu atau dua perkara yang saya tidak begitu gemari tentangnya.

batch ASUS ROG XBox Ally X 21

Pada harga RM4299, iaitu harga sama untuk konsol ASUS ROG Ally X sebelum ini, konsol ROG Xbox Ally X pada pendapat saya adalah berbaloi sekiranya anda belum memiliki sebuah konsol permainan PC dan juga mahu memenuhi masa lapang apabila anda mengembara dan mempunyai ruang didalam bagasi anda untuk peranti sebegini.

Nantikan ulasan penuh saya mengenai konsol ini kelak.

Komen

Sila log masuk untuk menghantar komen.



Source link