Malaysia Oversight

Pandang Pertama Apple iPhone 17 Dan iPhone 17 Pro – Evolusi Yang Dinanti

By Amanz in September 19, 2025 – Reading time 8 minute
Pandang Pertama Apple iPhone 17 Dan iPhone 17 Pro – Evolusi Yang Dinanti


Pandang Pertama 17 Dan 17 Pro – Evolusi Yang Dinanti

September 19, 2025

Amy Maizuraa

Setiap kali menjelang bulan September, secara tradirisnya akan memperkenalkan barisan terbaru. Untuk tahun ini, Apple telah melancarkan siri iPhone 17 dan dua daripada empat model telah pun tiba di pejabat kami untuk diuji.

iPhone 17 Series Edited 22

Melalui pemerhatian awal, terdapat perubahan ketara yang diperkenalkan pada siri kali ini khususnya rekaan untuk versi pro. Berikut merupakan pandang pertama kami untuk dua peranti baharu daripada Apple iaitu iPhone 17 dan iPhone 17 Pro.


Rekaan Dan Paparan Skrin

iPhone 17 dan iPhone 17 Pro hadir dengan pendekatan berbeza dari segi rekaan dan prestasi namun kedua-duanya tetap mengekalkan ciri premium yang sinonim dengan Apple. iPhone 17 mengekalkan rekaan seperti model sebelum ini termasuk bonggol kamera menegak di bahagian belakang.

iPhone 17 Series Edited 24

Sebaliknya, iPhone 17 Pro muncul dengan rekaan baharu yang lebih moden dan jelas berbeza daripada generasi terdahulu. Apple turut memperkenalkan pilihan warna yang lebih menarik kali ini. Warna-warna yang ditawarkan bukan sekadar pilihan selamat tetapi lebih menyerlah yang menjadikan rekaan keseluruhan kelihatan bergaya.

iPhone 17 mungkin kelihatan serupa dengan iPhone 16 tetapi sebenarnya hadir dengan perubahan yang memberi kesan nyata. Apple telah menambah baik aspek penting seperti paparan skrin dan binaan bagi menjadikan peranti lebih berbaloi dimiliki terutama dengan harga permulaan RM3299.

iPhone 17 Series Edited 2 1

Ia turut ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Black, White, Mist Blue, Sage dan Lavender. Unit yang kami terima hadir dalam warna putih, yang walaupun sering dilihat sebagai pilihan warna yang selamat tetapi kemasan minimalisnya masih nampak moden dan berjaya menarik perhatian.

Pertama kali kami memegang, peranti ini terasa kukuh dan selesa di tangan. Tidak mengejutkan kerana produk Apple sememangnya sinonim dengan kualiti binaan yang memuaskan. Bak kata pepatah alang membeli menang memakai. Paparan Super Retina XDR dilihat terang seperti yang dijangka. Namun, ciri yang benar-benar mencuri perhatian ialah sokongan ProMotion dengan kadar segar semula 120Hz.

IMG 4066

Ini merupakan peningkatan yang menarik kerana sebelum ini ciri tersebut hanya ditawarkan pada model Pro dan Pro Max. Kali ini, Apple membuat keputusan bijak dengan membawa ciri tersebut ke semua model baharu mereka. Langkah ini seakan mengiyakan kenyataan daripada pengurus Xiaomi sebelum ini bahawa kadar segar semula tinggi bukan lagi sekadar nilai tambahan tetapi sudah menjadi ciri wajib dalam peranti moden yang premium.

Saiz skrin iPhone 17 telah dibesarkan kepada 6.5-inci berbanding 6.1-inci pada model standard sebelum ini. Bezel yang lebih nipis memberikan paparan yang lebih luas tanpa mengubah saiz keseluruhan peranti secara ketara. Rangka aluminium yang digunakan pula bukan sahaja menjadikan peranti lebih ringan tetapi bantu dalam mengawal haba dengan efisien berbanding binaan aluminium biasa pada iPhone 16.

IMG 4067

Butang-butang dan sambungan standard masih dikekalkan di posisi yang sama seperti sebelumnya. Butang kuasa dan Action Button terletak di sebelah kanan, manakala di sebelah kiri terdapat tiga butang tambahan untuk pelarasan audio serta satu lagi Action Button. iPhone 17 turut menyokong pembesar suara stereo yang ditempatkan bersebelahan dengan port USB-C.

Bercakap tentang port USB-C, ia sememangnya berkait dengan fungsi pengecasan. Seperti biasa, Apple hanya menyertakan kabel pengecasan tanpa kepala pengecas. Pendekatan ini tidak lagi mengejutkan kerana ia telah diperkenalkan sejak iPhone 14 yang kononnya sebagai langkah untuk menjaga alam sekitar.

iPhone 17 Series Edited 7 1

iPhone 17 Pro merupakan model yang menerima perubahan paling ketara tahun ini. Sewaktu pertama kali menggunakannya, perkara pertama yang saya perasan ialah beratnya yang agak terasa. Mungkin kerana saya sudah terbiasa dengan iPhone 14 yang lebih ringan. Namun begitu, itu hanyalah pandangan peribadi. Malah ada sahaja rakan di pejabat yang berpendapat beratnya masih berada dalam julat biasa untuk siri Pro.

iPhone 17 Series Edited 9

Apa yang menarik, binaan peranti kali ini seimbang dari setiap sudut, termasuk bahagian atas, bawah dan sekitar kamera. Apple turut memperkenalkan kemasan baharu dengan sentuhan yang lebih segar untuk rekaan keseluruhan yang lebih moden. Ada pengguna Android yang berpendapat kemasan seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana sudah lama digunakan dalam peranti mereka. Namun pendekatan Apple kali ini sebenarnya masih futuristik selari dengan identiti premium yang mereka.

iPhone 17 Series Edited 6

Salah satu perubahan paling ketara pada iPhone 17 Pro ialah bonggol kamera yang kini melintang dan memanjang. Ia tidak lagi terletak di bucu kiri seperti sejak iPhone 11. Meskipun berubah, kedudukan tiga lensa utama masih dikekalkan dalam formasi segi tiga dan saiz setiap lensa juga seragam. LED flash kali ini dilihat lebih besar dan diletakkan di sebelah kanan manakala di bawahnya terdapat satu lensa khas yang fungsinya masih belum dijelaskan sepenuhnya oleh Apple.

iPhone 17 Series Edited 12

Apple turut telah menukar bahan binaan iPhone 17 Pro daripada titanium kepada aluminium di mana satu perubahan yang mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna. Ada yang menganggap langkah ini sebagai penurunan kualiti, namun secara logik penggunaan aluminium boleh membantu mengurangkan pelepasan haba dan menjadikan rekaan lebih efisien. Prestasi bahan ini bagaimanapun hanya dapat dinilai melalui penggunaan jangka panjang dan ulasan menyeluruh yang akan datang.

iPhone 17 Series Edited 10

Antara persoalan yang turut dibangkitkan ialah sama ada masalah kosmetik seperti calar halus, kesan lekuk, atau perubahan warna akan berlaku pada model ini. Kami tidak dapat memberikan jawapan yang pasti kerana perkara ini bergantung kepada cara penggunaan masing-masing. Sebagai contoh, iPhone 14 milik salah seorang staff ada menunjukkan kesan kosmetik di bahagian kamera sedangkan unit pihak lain masih kekal dalam keadaan baik. Ini membuktikan bahawa pengalaman pengguna boleh berbeza walaupun menggunakan model yang sama.

IMG 4059

Walaupun Apple sentiasa menekankan kawalan mutu yang tinggi namun realitinya setiap unit mungkin menunjukkan tahap ketahanan yang berbeza. Faktor seperti penggunaan kerangka, cara penyimpanan, dan tahap penjagaan harian turut memainkan peranan penting dalam menentukan keadaan fizikal jangka panjang sesebuah peranti.


Perkakasan Dalaman – Cip Apple A19 Pro

Kedua-dua model ini hadir dengan cip A19 Pro yang dibina menggunakan teknologi 3nm (N3P). Ia merupakan antara yang paling berkuasa pernah digunakan dalam peranti iPhone. Menurut Apple, prestasinya mampu mencapai sehingga 40% lebih baik berbanding generasi sebelum ini. Secara logik, dalam penggunaan harian, aplikasi dapat dibuka dengan lebih pantas, tugasan lebih stabil, dan ciri kecerdasan buatan seperti Apple Intelligence berfungsi hampir serta-merta.

Apple A19 Pro hero

Berdasarkan cubaan singkat kami, tatalan dan masa respons sistem didapati sangat memuaskan. Namun begitu, prestasi keseluruhan akan terus diuji dari semasa ke semasa melalui ulasan penuh yang akan datang. Menariknya, semua model iPhone 17 kini hadir dengan storan asas bermula daripada 256GB. Apple tidak lagi menawarkan pilihan 128GB RAM yang sebelum ini menjadi standard.

Apple iPhone 17 Pro Vapor chamber kebuk Penyejuka

Walaupun kedua-dua model menggunakan cip A19 Pro yang sama, iPhone 17 Pro mempunyai kelebihan dari segi sistem penyejukan berasaskan ruang wap serta reka bentuk aluminium unibody. Ia sepatutnya membantu dalam mengekalkan prestasi untuk tempoh yang panjang terutamanya ketika menjalankan tugasan berat. Oleh itu, model Pro dirasakan lebih sesuai untuk penggunaan ekstra dalam suntingan video, permua bergrafik tinggi, atau tugasan yang memerlukan prestasi konsisten. Berikut perbandingan ringkas cip A19 Pro dengan cip mercu lain

  • Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy Z Fold7
  • Exynos 2500 – Samsung Galaxy Z Flip7
  • Snapdragon 8 Elite – Honor Magic V5
  • Snapdragon 8 Elite ( 7 Teras) – Oppp Find N5
  • Snapdragon 8 Elite – Xiaomi 15 Ultra
  • Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy S25 Ultra
  • Dimensity 9400 – Oppo Find X8 Pro
  • Apple A18 Pro – Apple iPhone 16 Pro Max
  • Tensor G5 – Google Pixel 10 Pro XL

AnTuTu 3D

Cip Skor
Apple iPhone 17 Pro 2,634,345
Samsung Galaxy Z Fold7 1,747,012
Samsung Galaxy Z Flip7 1,542,966
Honor Magic V5 1,732,200
Oppo Find N5 2,157,718
Xiaomi 15 Ultra 2,341,598
Samsung Galaxy S25 Ultra 1,946,864
Oppo Find X8 Pro 2,629,017
Apple iPhone 16 Pro Max 1,720,751
Google Pixel 10 Pro XL 1,214,735

Geekbench 6

Cip Satu Teras Multi Teras
Apple iPhone 17 Pro 3560 8835
Samsung Galaxy Z Fold7 2745 9060
Samsung Galaxy Z Flip7 2236 7627
Honor Magic V5 1286 4926
Oppo Find N5 2866 7987
Xiaomi 15 Ultra 2918 8917
Samsung Galaxy S25 Ultra 2957 9435
Oppo Fin X8 Pro 2663 8959
Apple iPhone 16 Pro Max 3359 8129
Google Pixel 10 Pro XL 2303 6134

3DMark Wildlife Extreme

Cip Skor
Apple iPhone 17 Pro 5873
Samsung Galaxy Z Fold7 5633
Samsung Galaxy Z Flip7 5201
Honor Magic V5 6025
Oppo Find N5 5507
Xiaomi 15 Ultra Tidak boleh dilakukan
Samsung Galaxy S25 Ultra 6135
Oppo Find X8 Pro 6251
Apple iPhone 16 Pro Max 4560
Google Pixel 10 Pro XL 3266

Perisian Dalaman – iOS 26

Apple telah melancarkan iOS 26 dan menetapkannya sebagai sistem operasi utama untuk semua model iPhone terbaru. Kemas kini ini menampilkan pelbagai pembaharuan yang bukan sahaja bersifat teknikal malah turut membawa identiti baharu kepada ekosistem iPhone secara keseluruhan.

Apple iOS 26 logo

Salah satu perubahan paling ketara ialah antaramuka baharu dikenali sebagai Liquid Glass Melaluinya, ikon dan skrin memaparkan kesan pantulan serta biasan cahaya yang bergerak seiring dengan sentuhan jari. Ia juga boleh bertindak balas secara automatik terhadap mod gelap dan terang.

iOS 26 turut hadir dengan Live Translation yang membolehkan pengguna menterjemah perbualan secara langsung semasa panggilan telefon melalui FaceTime dan Messages. Terdapat juga fungsi Genmoji dan Image Playground yang membolehkan pengguna mencipta emoji berdasarkan wajah atau teks pilihan mereka.

IMG 4089 side
IMG 4082 side

Dalam aplikasi Phone, pengguna kini boleh menapis panggilan tidak dikenali melalui ciri Call Screening yang membantu dalam mengurangkan gangguan daripada panggilan spam. Selain itu, ciri Hold Assist membolehkan peranti menunggu secara automatik semasa panggilan berlangsung. Messages kini menerima beberapa penambahbaikan menarik. Pengguna boleh menjalankan undian kumpulan dan menetapkan latar belakang.


Tetapan Kamera – Optikal Zum Hingga Lapan Kali

Apple memberi tumpuan khusus kepada sistem kamera dalam siri iPhone 17. Penambahbaikan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti rakaman tetapi juga meluaskan kemampuan kamera untuk pelbagai situasi.

iPhone 17 Series Edited 3

Untuk model iPhone 17, sistem kamera belakang terdiri daripada tiga lensa utama iaitu lensa sudut lebar 48MP, lensa ultra lebar 48MP dan telefoto optikal 2x. Di bahagian hadapan, Apple menyertakan kamera swafoto 18MP yang menggunakan sensor berbentuk empat segi sama. Ia turut menyokong ciri Center Stage di mana membolehkan pengguna merakam swafoto dalam landskap walaupun telefon dipegang secara menegak. Saiz sensor juga dikatakan dua kali ganda lebih besar berbanding sebelum ini.

iPhone 17 Series Edited 5

Bagi iPhone 17 Pro, Apple menggunakan gabungan tiga sensor 48MP di bahagian belakang merangkumi kamera utama, ultra-lebar dan telefoto. Ia turut membolehkan rakaman gambar dengan zum optikal sehingga 8X dibuat. Kamera hadapan pula menggunakan sensor 18MP seperti model standard namun dengan keupayaan tambahan seperti rakaman portrait dan landskap tanpa perlu memusingkan telefon. Ciri rakaman video turut ditambah baik dengan rakaman seperti ProRes RAW, Log 2 dan Genlock, serta rakaman 4K120FPS.

IMG 4076

Ciri Dual Capture membolehkan rakaman serentak daripada kamera hadapan belakang dibuat dimana kamera hadapan muncul sebagai kotak dalam gambar yang boleh dialihkan kemana-mana sudut skrin. Ini sangat berguna untuk video reaksi dan kandungan vlog. Ciri Center Stage menjadi kegemaran setakat ini kerana memudahkan rakaman swafoto mendatar tanpa perlu memusingkan telefon atau memegangnya dalam posisi yang tidak selesa.


Pandangan Awal

Perubahan besar pada model iPhone tahun ini dapat dilihat melalui beberapa aspek utama. Antaranya ialah sokongan 120Hz yang kini tersedia untuk semua jenis model termasuk versi standard, rekaan baharu pada versi pro serta storan asas yang kini bermula dari 256GB.

iPhone 17 Series Edited 13

Apple turut telah menaik taraf sistem kamera iPhone dengan pemprosesan imej yang lebih baik. Ciri Center Stage kini tersedia pada iPhone, membolehkan kamera depan mengikuti pergerakan pengguna secara automatik semasa panggilan video. Untuk model Pro dan Pro Max, Apple menambah sistem penyejukan berasaskan ruang wap bagi memastikan prestasi kekal stabil.

Apple turut terus mengekalkan reputasinya sebagai jenama yang seimbang dari segi prestasi dan pengalaman pengguna. Ini kerana sistem operasi iOS sentiasa menerima kemas kini secara konsisten.  Ramai pengguna memilih Apple kerana sokongan perisian yang berpanjangan dan boleh dipercayai.

iPhone 17 Series Edited

Pilihan warna seperti Cosmic Orange turut menarik perhatian ramai. Namun, harga model 2TB yang mencecah RM10,000 membuatkan sesetengah pengguna mempertimbangkan alternatif lain seperti komputer riba. Nantikan ulasan penuh kami untuk mengetahui prestasi sebenar peranti ini.

Komen

Sila log masuk untuk menghantar komen.



Source link