PETALING JAYA: Kabinet Palestin menggesa masyarakat antarabangsa dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengambil pendirian kemanusiaan yang tegas dan segera bagi memastikan kemasukan rumah mudah alih serta bekalan perlindungan asas ke Gaza, susulan keadaan musim sejuk yang semakin buruk.
Dalam mesyuarat Kabinet mingguannya, mereka menekankan keperluan tekanan maksimum dikenakan ke atas pihak berkuasa Israel bagi menyelamatkan penduduk Gaza yang berdepan krisis kemanusiaan berterusan.
“Kabinet menyeru masyarakat antarabangsa dan agensi PBB supaya bertindak segera bagi memastikan kemasukan rumah mudah alih serta semua keperluan perlindungan asas ke Gaza,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri Palestin, Dr. Mohammad Mustafa pula mengarahkan semua institusi rasmi, khususnya Jawatankuasa Menteri bagi Tindakan Kecemasan, supaya menggerakkan sepenuhnya sumber tempatan serta kerjasama antarabangsa bagi memenuhi keperluan keluarga pelarian di utara Tebing Barat.
“Semua persiapan pemulihan ekonomi dan langkah kesiapsiagaan perlu dipercepatkan bagi membolehkan tindak balas segera sebaik sahaja tentera pendudukan Israel berundur dari kem pelarian,” katanya.
Pada masa sama, Palestin menggesa negara Arab dan Islam menggunakan pengaruh diplomatik masing-masing untuk menghentikan pelanggaran berterusan Israel, khususnya perobohan rumah rakyat Palestin di Baitulmaqdis serta serangan kumpulan peneroka terhadap penduduk awam di perkampungan Palestin.
Kabinet turut mengecam keputusan Parlimen Israel (Knesset) yang meluluskan pemotongan bekalan elektrik dan air ke pejabat Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmaqdis, yang jelas melanggar Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
“Tindakan itu menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada lebih 110,000 pelarian Palestin di wilayah berkenaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kabinet Palestin meluluskan penubuhan Jawatankuasa Haji dan Umrah bagi musim Haji 1447H/2026, susulan kelulusan Peraturan Hal Ehwal Haji sebagai sebahagian daripada pelan reformasi kerajaan. – UTUSAN





