Malaysia Oversight

Palapes UTM maut: Ibu tuntut siasatan telus

By MkiniBM in August 2, 2025 – Reading time 2 minute
Palapes UTM maut: Ibu tuntut siasatan telus


Ibu kepada seorang pelajar universiti di Johor yang meninggal dunia semasa menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) minggu lalu di Ulu Tiram, Johor, meminta agar peguamnya dimasukkan ke dalam jawatankuasa antara kementerian yang menyiasat kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Yusof Othman semalam berkata tiada unsur jenayah atau kecederaan luaran yang ditemukan pada mayat Haris Shamsudin, 22, namun keputusan ujian makmal masih ditunggu bagi mengesahkan punca kematian.

Peguam Naran Singh, yang mewakili ibu Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun berkata anak guamnya “amat tidak berpuas hati dengan apa yang telah berlaku”.

“Beliau masih merasakan ada unsur jenayah, dan beliau meminta agar peguamnya dimasukkan dalam jawatankuasa khas itu supaya siasatan dapat dijalankan dengan lebih telus,” kata Naran kepada Malaysiakini hari ini.

Naran turut mengesahkan Ummu Haiman telah memintanya untuk menjadi sebahagian daripada jawatankuasa antara kementerian yang diumumkan sebelum ini.

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin dilaporkan berkata jawatankuasa tersebut, yang terdiri daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi, telah memulakan siasatan mereka.

Susulan laporan awal yang dibuat pada 28 Julai, Ummu Haiman semalam membuat satu lagi laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, mendakwa wujud kemungkinan jenayah selepas dia melihat kecederaan pada tubuh anaknya.

Katanya dia melihat kesan lebam yang teruk, pendarahan dari hidung dan mata, serta luka yang menyerupai kecederaan tembakan, dan kecederaan itu dilihat tidak selari dengan penjelasan yang diberikan kepadanya.

Ummu Haiman mengesyaki anaknya telah dibunuh dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh terhadap kejadian tersebut.

[Baca berita asal]



Source link