Malaysia Oversight

Pakistan, Afghanistan kini ‘perang terbuka’, Kabul jadi sasaran bom

By MkiniBM in February 27, 2026 – Reading time 2 minute
Pakistan, Afghanistan kini 'perang terbuka', Kabul jadi sasaran bom


GLOBAL l Pakistan melancarkan serangan udara ke atas bandar-bandar utama di Afghanistan termasuk ibu negaranya, Kabul, pada Jumaat.

Tindakan itu mendorong Menteri Pertahanan Pakistan mengisytiharkan kedua-dua negara jiran tersebut kini berada dalam fasa “perang terbuka” selepas berbulan-bulan terlibat dalam pertempuran berbalas.

AFP melaporkan serangan ini menyusul selepas tentera Afghanistan menyerang pasukan sempadan Pakistan pada malam Khamis, yang menurut Taliban sebagai tindakan balas terhadap serangan udara sebelum ini.

Wartawan agensi berita di Kabul dan Kandahar melaporkan bunyi letupan kuat serta deruan jet pejuang di ruang udara.

Hubungan antara kedua-dua negara merudum dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Pintu sempadan darat sebahagian besarnya telah ditutup sejak pertempuran berdarah pada Oktober lalu yang mengorbankan lebih 70 nyawa di kedua-dua pihak.

Islamabad menuduh Afghanistan gagal bertindak terhadap kumpulan militan yang melancarkan serangan di Pakistan, namun dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Taliban.

Beberapa pusingan rundingan telah diadakan melalui pengantaraan Qatar dan Turki sebelum ini, namun usaha tersebut gagal mencapai perjanjian gencatan senjata yang kekal.

Konfrontasi habis-habisan

Menteri Maklumat Pakistan, Attaullah Tarar melalui hantaran di media sosial X mengesahkan bahawa sasaran pertahanan Taliban di Kabul, wilayah Paktia dan Kandahar telah dibedil.

Dalam pada itu, AFP juga memetik Menteri Pertahanan, Khawaja Asif secara terbuka mengisytiharkan “konfrontasi habis-habisan” terhadap pimpinan Taliban.

03e61429339527736b10c5a284160698

“Kesabaran kami sudah mencapai hadnya. Sekarang adalah perang terbuka antara kami dan kamu,” tegas beliau.

Di Kabul, letupan kuat dan bunyi tembakan kedengaran selama lebih dua jam. Malah, di bandar Kandahar yang menjadi pangkalan Pemimpin Tertinggi, Hibatullah Akhundzada, deruan jet pejuang turut dilaporkan menyelubungi ruang angkasa.

Taliban lancar operasi ofensif

Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid mengesahkan serangan udara Pakistan tersebut namun mendakwa tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beberapa jam sebelum serangan udara bermula, Mujahid mengumumkan “operasi ofensif besar-besaran” di sempadan sebagai tindak balas terhadap apa yang dipanggil sebagai pencabulan berulang kali oleh tentera Pakistan.

Kementerian Pertahanan Afghanistan melaporkan lapan anggotanya terbunuh dalam serangan darat tersebut. Selain itu, seorang pegawai melaporkan beberapa orang awam cedera berhampiran pintu sempadan Torkham, termasuk di sebuah kem pelarian.

“Sebiji peluru meriam mengenai kem tersebut dan malangnya tujuh pelarian kami cedera, dengan keadaan seorang wanita dilaporkan serius,” kata Ketua Maklumat wilayah Nangarhar, Qureshi Badlun.

Mujahid turut mendakwa beberapa tentera Pakistan telah “ditangkap hidup-hidup”, namun dakwaan itu dinafikan oleh Pejabat Perdana Menteri di Islamabad.

Operasi ketenteraan ini merupakan rentetan daripada serangan Pakistan di wilayah Nangarhar dan Paktika awal minggu ini yang menurut misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang awam.

Meskipun Arab Saudi cuba campur tangan awal bulan ini bagi meredakan ketegangan melalui pembebasan tiga tentera Pakistan yang ditawan sejak Oktober, namun pelanggaran gencatan senjata yang berterusan telah membawa kedua-dua negara ke ambang peperangan berskala penuh.



Source link