Malaysia Oversight

Pakar cadang pendekatan lebih adil, holistik

By MkiniBM in September 26, 2025 – Reading time 3 minute
Pakar cadang pendekatan lebih adil, holistik


Saranan polis supaya remaja perempuan yang terlibat dalam kes rogol bawah umur didakwa bersama penjenayah lelaki dewasa mencetuskan desakan daripada pakar kebajikan kanak-kanak dan undang-undang untuk pendekatan yang lebih holistik dalam mengendalikan seks suka sama suka membabitkan remaja.

Beberapa pakar yang bercakap kepada Malaysiakini percaya undang-undang harus membezakan perbuatan rogol oleh lelaki dewasa pemangsa dengan hubungan percintaan yang tidak mengeksploitasi antara kanak-kanak bawah umur.

Menurut aktivis kebajikan kanak-kanak Hartini Zainudin, remaja di bawah umur 16 tahun tidak mempunyai kapasiti untuk memberi kebenaran undang-undang tanpa mengira jantina dan menganggap mereka sebagai penjenayah boleh menyebabkan trauma dan menimbulkan stigma yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

“Daripada menghukum remaja dengan undang-undang jenayah, lebih baik negara melabur pada pendidikan seksual komprehensif – agar remaja faham risiko kehamilan, penyakit, hak diri, dan persetujuan.

“(Selain itu) kaunseling dan sokongan psikososial untuk remaja dan keluarga mereka.

“(Serta) program pencegahan komuniti yang melibatkan ibu bapa, sekolah, NGO dan pihak berkuasa agama,” katanya.

Hartini, yang merupakan pengasas bersama Yayasan Chow Kit, turut menyatakan persetujuannya dengan cadangan yang dikemukakan oleh beberapa peguam supaya Malaysia mempunyai undang-undang ‘Romeo dan Juliet’.

Dia berkata banyak negara telah membenarkan pengecualian “close-in-age” – pengecualian terhadap remaja bawah umur yang mengadakan hubungan seks dengan remaja bawah umur lain yang tidak jauh beza umur – tidak dilayan sebagai penjenayah.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa undang-undang seumpama itu tidak seharusnya membenarkan eksploitasi oleh lelaki dewasa.

“Contohnya, lelaki 19 tahun dengan gadis 15 tahun—walaupun beza umur tidak terlalu jauh, masih wujud risiko ketidakseimbangan kuasa, manipulasi, atau paksaan halus.

“Undang-undang mesti jelas tentang had umur dan beza umur maksimum untuk elak disalah guna,” kata Hartini.

ee4e8016e0823d995c288e2bd152e9b1

Peguam Puvarasan Balaiyah menegaskan bahawa walaupun Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan – yang menjenayahkan hubungan seks dengan kanak-kanak perempuan di bawah 16 tahun tanpa mengira persetujuan – direka untuk “melindungi”, pendekatan yang sempit sering membawa kepada hasil yang tidak masuk akal.

Katanya, ini berlaku terutamanya dalam kes yang melibatkan remaja yang tidak jauh beza umur di mana hubungan itu mungkin benar-benar suka sama suka.

“Kita mesti memperkenalkan mekanisme yang memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada usia mental yang betul dan kematangan mangsa,” kata Puvarasan.

Dia mencadangkan kajian semula undang-undang secara holistik mesti mempertimbangkan tiga faktor, iaitu kematangan sebenar, dinamik kuasa, dan proporsional dan keadilan.

“Umur secara kronologi tidak sama dengan perkembangan kognitif atau emosi. Kita mesti menyepadukan cerapan daripada pakar perkembangan kanak-kanak untuk menilai kapasiti kanak-kanak bawah umur untuk mendapatkan persetujuan termaklum.

“Undang-undang mesti membezakan secara jelas antara eksploitasi dewasa yang memangsa (di mana peraturan liabiliti yang ketat amat penting) dan hubungan yang tidak mengeksploitasi antara dua remaja dengan jarak umur yang tidak jauh,” katanya.

Menurut Puvarasan, undang-undang juga perlu memastikan hukuman itu menepati sifat sebenar perbuatan itu.

Pelaksanaan secara menyeluruh pertuduhan rogol ke atas seorang remaja lelaki kerana hubungan yang tidak mengeksploitasi dan suka sama suka dengan pasangan yang lebih muda, katanya, “selalunya merupakan kegagalan keadilan”.

Sementara itu, peguam jenayah veteran N Sivananthan berkata adalah lebih adil untuk meminda undang-undang yang pada masa ini mengiktiraf hanya seorang lelaki dewasa boleh melakukan rogol.

Menurutnya, undang-undang harus menyatakan bahawa jika pesalah juga berumur di bawah 16 tahun, dan hubungan seksual adalah berdasarkan persetujuan, dia berhak mendapat hukuman percubaan atau pemulihan.

“Bagi mereka yang berumur 16 tahun ke atas, undang-undang semasa sudah memadai kerana ia mungkin menggunakan pengaruh yang tidak wajar terhadap seorang gadis yang mungkin mudah tertipu dan mudah dipengaruhi.

“Itu akan menjadi satu langkah ke arah yang betul kerana ia tidak secara tidak adil memprejudiskan seorang remaja lelaki bawah 16 tahun yang mungkin juga tidak mempunyai kematangan untuk mempetimbangkan sepenuhnya tindakannya,” kata Sivanthan.

Minggu lalu, Ketua Polis Yusoff Mamat mencetuskan kontroversi selepas dia mencadangkan gadis yang terlibat dalam kes rogol bawah umur harus didakwa bersama penjenayah lelaki dewasa itu.

Dia berkata hampir 90 peratus kes rogol bawah umur adalah konsensual, berdasarkan siasatan.

Walaupun kenyataannya telah mengundang kritikan, beberapa peguam telah mencadangkan “undang-undang Romeo dan Juliet”, dan bukannya mendakwa gadis bawah umur kerana “mempersetujui” rogol bawah umur.



Source link