PROFIL Syafiq Kyle sebagai pelakon bukan calang-calang. Langkah kanan sebagai naib juara Hero Remaja 2011/2012 kemudian menjodohkannya dengan beberapa projek lakonan yang mengesankan seperti Tanah Kubur, Nur serta deretan filem pecah panggung.
Syafiq atau Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 33, boleh sahaja memilih untuk bekerja dengan nama-nama besar dalam industri untuk mengekalkan reputasi sebagai bakal penerima anugerah Rising Icon Asia Pasifik 2025, Festival Filem Asia Pasifik ke‑62.
Namun bagi jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu, dalam dunia lakonan dan filem, tiada sesiapa boleh boleh melawan semangat bekerja yang ada pada hati orang-orang yang sangat mencintai panggung.
Oleh itu, Syafiq terbuka untuk bekerja dengan pendatang baharu asalkan mereka dapat membuktikan kesungguhan menghasilkan kualiti kerja yang baik. Terkini, Syafiq baru menerima tawaran seorang pengarah baru Nazifdin Nasrudin atau Bujoq menerusi filem Malaikat Malam.
Menurut calon Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Filem Malaysia ke‑33 itu, sepanjang mengenai Bujoq sebagai pekerja belakang tabir dan penulis skrip, jejaka itu memiliki motivasi dan semangat untuk bergelar pengarah yang tidak banyak dimiliki oleh anak-anak muda.
Oleh itu, dia terus bersetuju untuk terlibat sebagai pelakon utama filem pengarah muda itu.
“Saya pernah bekerja dengan Bujoq beberapa kali antaranya untuk projek filem Sheriff. Dia seorang yang memiliki semangat tinggi, saya dapat lihat menerusi penulisannya bahawa dia sangat cintakan filem. Mereka yang sangat mencintai filem ini tidak ramai.
“Jadi bila kita dapat jumpa seorang anak muda ada impian dan motivasi seperti ini, sebagai pelakon, kita pun lebih bersemangat juga. Mereka ini akan memberi aura bahari di set penggambaran. Tidak toksik, tiada hal negatif.
“Sepanjang 20 hari penggambaran, kami habiskan masa dengan hari yang baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Syafiq berkata, Bujoq mahu mengembalikan nostalgia zaman motor seperti yang pernah mencipta fenomena lebih sedekad lalu.
“Saya tidak kata filem ini mudah, tapi jalan ceritanya ringan. Cuma saya bukanlah ‘mat motor’, jiwa kelajuan itu tidak ada dalam diri saya. Tapi apabila sudah berada di set penggambaran, saya buat sahaja. Cuma beberapa aksi berbahaya kami akan gunakan khidmat pelakon lagak ngeri,” katanya.
Dalam pada itu, pengarah filem ini iaitu Bujoq atau berkata dia sudah lama berhasrat untuk membawa semula cerita ‘mat motor’ yang mengetengahkan tentang persahabatan dan cinta.
Dia juga bersyukur kerana pelakon seperti Syafiq Kyle sudi terlibat dalam filem sulungnya walaupun bayarannya tidak setinggi projek lain.
“Filem ini bukan hanya cerita tentang motor, tapi membawa nilai positif yang bermakna kepada penonton,” katanya.
Barisan pelakon lain yang turut memeriahkan filem ini yang dijangka tayang tahun hadapan ialah Tracie Sinidol, Amir Nafis, Juzzthin dan Kodi Rasheed.
Malaikat Maut turut mendapat bantuan dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).-UTUSAN