Keputusan kerajaan meminta Bangladesh menghentikan siasatan terhadap dakwaan sindiket yang mengeksploitasi rakyat negara itu untuk bekerja di Malaysia menimbulkan persoalan kemungkinan wujud campur tangan orang tengah.
Bercakap kepada Malaysiakini, bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyifatkan langkah itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima.
“Ia tidak masuk akal untuk Kesuma (Kementerian Sumber Manusia) menulis surat kepada Bangladesh untuk tidak meneruskan siasatan ini.
“Tidak masuk akal bagi saya. Kamu sepatutnya menentang eksploitasi ini. Persoalan yang ingin ditanya ialah adakah orang tengah terlibat dalam membuat keputusan itu?” soalnya.
Sebelum itu, pemimpin DAP itu diminta mengulas tindakan kerajaan Malaysia menghantar surat kepada Bangladesh untuk menghentikan siasatan terhadap dakwaan yang dianggap tidak berasas.
Menurut laporan Malaysiakini, surat bertarikh 23 April 2025 itu dikatakan dihantar oleh pegawai kanan Kesuma kepada pegawai kanan Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh.
Dalam surat tersebut, Kesuma meminta pihak Bangladesh menangani isu sindiket yang mengeksploitasi rakyat negara itu dalam tempoh 2022 hingga 2024 bagi memastikan proses pengambilan pekerja berjalan lancar dan boleh dipercayai.

Surat itu turut menyatakan bahawa sebahagian besar dakwaan berhubung pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram adalah tidak berasas serta menjejaskan reputasi Malaysia.
“Apa yang Bangladesh lakukan (membuka siasatan) adalah baik kerana mereka mahukan keseluruhan sistem dibaik pulih.
“Mereka mahu memperbetulkannya dan mahu mengikut amalan terbaik antarabangsa. Tetapi, di Malaysia, kita tidak mahu membenarkan.
“Sebenarnya, kita memerlukan satu persefahaman yang kukuh agar sindiket ini tidak berlaku,” kata Charles.
Sementara itu, organisasi hak pekerja Tenaganita turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Malaysia yang meminta siasatan itu dihentikan, menyifatkannya sebagai isyarat yang salah.
Pengarah Eksekutifnya, Glorene A Das berkata siasatan tersebut penting bagi mendedahkan bagaimana sindiket penyeludupan beroperasi di kedua-dua negara dengan menyiasat kemungkinan wujudnya aktiviti pengubahan wang haram, pemerdagangan manusia, dan amalan perekrutan secara penipuan.

“Kami percaya bahawa matlamatnya adalah jelas dari segi penyiasatan, pada asasnya untuk memastikan rangkaian ini bertanggungjawab, melindungi pekerja, dan mendesak untuk sistem pengambilan etika yang lebih telus dan adil.
“Walaupun, kami percaya bahawa tekanan politik dan ekonomi sedang bermain, menutup penyiasatan seperti ini benar-benar menghantar mesej yang salah.
“Ia berisiko membenarkan amalan eksploitatif berterusan tanpa kawalan dan menjejaskan keadilan bagi mereka yang sudah ditindas,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia turut menggesa kerajaan agar bekerjasama dengan organisasi masyarakat sivil dan kumpulan pekerja bagi mewujudkan sistem yang telus serta melindungi golongan yang terdedah dan dipinggirkan.
Untuk rekod, pada 21 Oktober 2024, polis Bangladesh menahan seorang bekas menteri negara itu yang dikaitkan dengan siasatan berskala besar melibatkan agensi tenaga kerja yang menghantar pekerja ke Malaysia.
Menurut media tempatan, The Business Standard, Imran Ahmed – bekas Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara – ditahan oleh polis di Dhaka.
Timbalan Komisioner Polis Tambahan Dhaka, Obaidur Rahman mengesahkan penahanan tersebut namun tidak mendedahkan sebab sebenar tangkapan itu.
Pada Sept 2024, media sama melaporkan bahawa pemilik sebuah agensi pekerja telah membuat laporan polis terhadap 103 individu termasuk Imran, atas dakwaan terlibat dalam sindiket eksploitasi pekerja Bangladesh ke Malaysia.
Laporan tersebut turut merujuk kepada dakwaan penyelewengan dan pemerdagangan manusia berkaitan proses penghantaran pekerja melalui agensi yang dilantik di bawah memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Bangladesh yang dimeterai pada 19 Disember 2021.