Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, menyentuh mengenai rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India apabila penceramah Muslim kontroversi, Zamri Vinoth, masih belum didakwa walaupun hampir 900 laporan polis telah dibuat.
Saravanan berkata, sehingga kini tiada pendakwaan dibuat selepas penceramah itu membandingkan pembawa kavadi ketika upacara Thaipusam dengan individu mabuk atau dirasuk, sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan sesetengah pihak.
Ditanya sama ada dia kecewa kelonggaran yanag diberikan terhadap Zamri, Saravanan memberi isyarat bahawa perasaannya bukanlah rahsia.
“Saya tidak mahu katakan sama ada saya kecewa atau tidak.
“Satu negara, termasuk masyarakat India, tahu sama ada kami kecewa atau tidak,” katanya ringkas kepada Malaysiakini ketika ditemui pada satu majlis di Ayer Kuning, Perak.

Saravanan juga memberi amaran isu itu boleh menjejaskan sokongan masyarakat India terhadap BN, dan gabungan itu mungkin terkesan jika pendakwaan ditangguhkan lebih lama.
Namun, dia yakin sokongan di kawasan parlimen Tapah yang telah dimenanginya selama empat penggal tidak akan terjejas.
“Di Tapah, masyarakat India bersama kami (BN) kerana banyak sumbangan yang telah diberikan.
“Tapi saya tidak tahu bagaimana keadaan di kawasan lain.
“Jangan terkejut – di luar Tapah, kesannya (rasa tidak puas hati terhadap Zamri) akan ada di mana-mana,” tambahnya.
Sebelum ini, bekas Menteri Undang-Undang Zaid Ibrahim juga menegur proses keadilan apabila melibatkan tuduhan terhadap mereka yang menghina perdana menteri, tetapi dalam isu lain, seperti kes Zamri, dilihat perlahan.
Dalam perkembangan lain, Saravanan menyeru Pengerusi Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy, mengadakan perbincangan menyeluruh dalam kalangan masyarakat India sebelum sebarang usaha untuk memperjuangkan isu berkaitan.
Menyatakan bahawa Waytha bukanlah “wakil tunggal” masyarakat India, Saravanan berkata konsensus mengenai perkara tertentu perlu dicapai dalam kalangan masyarakat India terlebih dahulu sebelum membawa isu-isu tersebut ke pihak berkuasa yang lebih tinggi.
Dia berkata demikian sebagai reaksi terhadap Waytha semalam, yang mengulangi seruan MAP kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengadakan mesyuarat kabinet khas berikutan apa yang digambarkan sebagai “sentimen anti-Hindu yang meningkat” di negara ini.
“Jika kita orang India tidak mencapai persetujuan dalam kalangan kita sendiri, jangan harap perdana menteri akan bersetuju (dengan cadangan penyelesaian untuk isu-isu yang melibatkan masyarakat),” kata Saravanan.