MUKTAMAR PAS | Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) N Balasubramaniam mengajak masyarakat bukan Melayu untuk menyertai PAS sebagai cara terbaik untuk mengenali parti Islam itu.
Menurutnya, persepsi sesetengah pihak bahawa PAS sebagai parti rasis dan tidak bersifat inklusif adalah tidak benar.
“Kalau kita melihat parti lain terlibat dengan rasuah, menghadapi krisis dalaman dan ada parti ditubuh sebagai parti pelbagai kaum tetapi fokus kepada satu kaum tertentu sahaja.
“Tapi, saya nak tekankan di sini, PAS bukan parti melayu, tetapi parti berteraskan Islam yang menjaga kebajikan semua masyarakat.
“Itu yang saya ingin tekankan, kalau ingin mengenali PAS, masuk parti ini dulu. Jangan dengar persepsi negatif orang lain,” katanya kepada pemberita di Konvensyen DHPP di Sungai Petani, Kedah, hari ini.
Mengulas lanjut, Balasubramaniam yang mesra dipanggil Dr Bala berkata PAS merupakan satu-satunya parti Islam di dunia yang membuka pintu kepada orang bukan Islam untuk menyertainya.
Katanya lagi, tiada masyarakat bukan Islam di empat negeri yang ditadbir parti itu yang ditindas.
“Malah, saya sendiri bersama PAS hampir 20 tahun dan saya tak pernah diminta untuk tukar agama.
“Semua itu cuma tohmahan oleh segelintir orang yang cuba mengapi-apikan sentimen perkauman antara pemimpin PAS dan bukan Islam,” katanya lagi.
Terdahulu hari ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man ketika merasmikan Konvensyen DHPP menyuarakan komitmen untuk memperuntukkan kerusi kepada DHPP dalam PRU akan datang.
Sementara itu, Dr Bala berkata DHPP mengalu-alukan parti-parti lain untuk menjadi anggota PN.
“Saya percaya penyertaan parti-parti baru akan menguatkan lagi peranan bukan Melayu dan Islam dalam PN.
“Sebagai masyarakat minoriti di negara ini, kekuatan masyarakat India adalah perlu bekerjasama. Sekiranya ada parti politik nak bergerak solo, ia akan mencacatkan masa depan parti tersebut.
“Malah, MIC sendiri tidak ada kekuatan untuk bergerak sendiri,” katanya ketika diminta mengulas mengenai permohonan parti-parti baru menyertai PN.