PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalamam (OPR) mungkin boleh diturunkan sebanyak 25 mata asas pada separuh pertama tahun depan, sekiranya risiko penurunan kepada pertumbuhan meningkat, kata Public Investment Bank.
Ahli Ekonominya, Sabrina Edora berkata, perkembangan ini terutamanya daripada gangguan perdagangan yang berlarutan atau permintaan luar yang lebih lemah.
Katanya, jangkaan pemotongan 25 mata asas oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada September boleh membantu meredakan keadaan kewangan global, menawarkan kelegaan selanjutnya kepada ringgit dan mengurangkan tekanan inflasi yang diimport.
“Berdasarkan latar belakang ini, kami mengekalkan kes asas kami untuk Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR tidak berubah pada 2.75 peratus, menggunakan pendekatan berasaskan data,” katanya dalam nota penyelidikan.
Beliau berkata, pihakya akan memantau rapi Belanjawan 2026 yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober untuk sebarang penstukturan semula fiskal menjelang mesyuarat akhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada November.
Sabrina berkata, ketidaktentuan luaran semakin meningkat berikutan pengenaan tarif 19 peratus oleh pentadbiran AS ke atas eksport Malaysia, satu langkah yang boleh membebankan sektor berorientasikan eksport dan melemahkan permintaan luar.
“Walaupun pengecualian untuk semikonduktor dan farmaseutikal terus mengimbangi impak jangka pendek, ketidakpastian dasar kekal meningkat disebabkan penyiasatan Seksyen 232 yang sedang dijalankan dan potensi semakan pengecualian produk,” ujarnya.
Menurutnya, bank pelaburan itu mengekalkan unjuran inflasi utama 2025 pada 1.9 peratus tahun ke tahun, walaupun perkembangan terkini mencadangkan potensi risiko penurunan.
“Kerajaan dijangka akan mendedahkan mekanisme rasionalisasi subsidi petrol RON95 pada akhir September, di samping penurunan harga runcit RON95 yang telah diumumkan kepada RM1.99 seliter daripada RM2.05 seliter.
“Yang penting, rasionalisasi itu dijangka tidak menjejaskan sekurang-kurangnya 85 peratus rakyat Malaysia, dengan bukan warganegara dan berpendapatan tinggi berkemungkinan membayar harga tanpa subsidi.
“Pada peringkat ini, kami menjangkakan langkah itu akan memberi kesan langsung yang minimum terhadap inflasi, walaupun garis masa pelaksanaan masih tertakluk kepada kesediaan dasar,” jelasnya. – UTUSAN