Malaysia Oversight

Operasi bot karam temui empat lagi mayat, jumlah maut 20

By TheSun in November 11, 2025 – Reading time 2 minute
Operasi bot karam temui empat lagi mayat, jumlah maut 20


Empat lagi mayat ditemui dalam operasi bot karam di Langkawi, menjadikan jumlah 20 orang manakala 14 diselamatkan.

ALOR SETAR: Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand menemui empat lagi mayat petang ini.

Penemuan itu meningkatkan jumlah mangsa kepada 20 orang setakat ini.

Seramai 14 mangsa telah diselamatkan termasuk seorang yang ditemui hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata Maritime Rescue Sub Centre menerima maklumat mengenai penemuan mayat seorang wanita berhampiran Pulau Intan Kecil.

“Pasukan Angkatan Pertahanan Awam telah mengatur gerak bot ke lokasi untuk membawa mayat berkenaan ke jeti bagi proses serahan kepada polis,” katanya.

Pada 1.41 tengah hari, Jabatan Laut Malaysia memaklumkan penemuan satu mayat lelaki terdampar di barat Tanjung Belua.

Beberapa minit kemudian, KM Siangin mengesan satu lagi mayat lelaki kira-kira 1.6 batu nautika dari Tanjung Belua.

Tentera Laut Diraja Malaysia menemui satu mayat lelaki kira-kira satu batu nautika dari Tanjung Belua pada pukul 4.13 petang.

Setakat 5.30 petang, operasi hari ketiga merekodkan 14 mangsa diselamatkan terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita.

Daripada 20 mangsa , tujuh adalah lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Operasi pencarian masih diteruskan dengan bantuan aset pelbagai agensi.

Kawasan pencarian ditumpukan di zon unjuran arus dan cuaca semasa yang berpotensi membawa mangsa ke daratan.

Orang ramai yang menjumpai mangsa diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis melalui talian 04-9662750 atau talian kecemasan 999.

Operasi hari ini ditamatkan pada 7.30 malam dan akan disambung semula esok. – Bernama


Post Views: 1



Source link