Malaysia Oversight

Operasi bersihkan tumpahan 7,000 tan arang batu di Pantai Teluk Kalong

By MkiniBM in January 27, 2026 – Reading time 1 minute
Operasi bersihkan tumpahan 7,000 tan arang batu di Pantai Teluk Kalong


Operasi pembersihan Pantai Teluk Kalong dekat Chukai, Kemaman yang tercemar dengan tumpahan 7,000 tan metrik arang batu daripada sebuah tongkang yang hanyut dan pecah, mula dijalankan semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu Hamzah Mohamad berkata wakil syarikat tongkang terlibat telah melantik kontraktor bagi melakukan kerja-kerja pembersihan melibatkan kawasan sejauh 1.2 kilometer.

Beliau berkata kerja-kerja membersih pantai berkenaan dijangka mengambil masa memandangkan sebahagian arang batu itu berada di dasar laut.

“Pegawai JAS akan melakukan pemantauan bagi memastikan pantai peranginan itu kembali bersih,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

d61f5cea8e9679cd71d9f000b03f71bf

Hamzah berkata pada masa ini arang batu berkenaan dikumpul terlebih dahulu sebelum dibuang di kawasan lain.

“Pengunjung juga tidak perlu bimbang kesan terhadap alam sekitar ketika operasi berkenaan kerana arang batu tersebut bukan bahan buangan berjadual,” katanya.

Sementara itu, tinjauan media hari ini mendapati sebuah jentera pengorek digunakan untuk membersihkan arang batu di sepanjang pantai berkenaan.

Pada masa sama, sebanyak 14 pekerja melakukan kerja-kerja pembersihan secara manual dengan menggunakan penyodok sebelum arang batu itu diisi ke dalam guni.

ee3d1de0850b5d560b124ba7d91d6909

Sebelum ini, media melaporkan JAS Terengganu menerima laporan berhubung pantai yang dicemari arang batu itu pada 11 Jan lepas.

Difahamkan tongkang yang membawa bahan bakar itu dalam perjalanan dari Indonesia ke Vietnam, namun terkandas di pantai berkenaan akibat tiupan angin yang kuat.

– Bernama



Source link