OnePlus akan melancarkan sistem operasi terbaharu mereka OxygenOS 16 secara rasmi pada 16 Oktober 2025 sehari selepas Oppo memperkenalkan ColorOS 16 di China.

Melalui perkongsian awal, OnePlus menggunakan slogan ‘Intelligently Yours’ bersama penjenamaan baharu ‘OnePlus AI’ yang menandakan fokus mereka terhadap teknologi kecerdasan buatan. OxygenOS 16 bakal mengintegrasikan model Gemini daripada Google sekali gus membolehkan pelbagai ciri AI generatif digunakan pada peranti OnePlus akan datang.

Antara ciri utama yang diketengahkan ialah ‘Mind Space’ iaitu hab untuk menyusun kenangan dan koleksi pengguna. Dengan sokongan Gemini, sistem ini mampu melakukan tugasan kompleks berdasarkan kandungan yang disimpan. Sebagai contoh, pengguna boleh meminta Gemini merancang perjalanan lima hari ke Paris menggunakan maklumat daripada aplikasi Mind Space.
OnePlus menjangkakan ciri AI baharu ini akan tersedia pada beberapa peranti yang menjalankan OxygenOS 16. Syarikat itu turut memaklumkan bahawa senarai peranti serasi dan jadual pelancaran penuh akan diumumkan pada minggu hadapan.






