BAGAN SERAI: Nurul Nur Syamira Khamis, 28, wanita yang maut ditikam dalam kejadian di Taman Nona, Guar Chempedak, Alor Setar di Kedah semalam pernah mengadu dipukul bekas suami sehingga membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan lelaki itu.
Ibu saudara kepada wanita tersebut, Hamidah Khalid, 44, yang memberitahu perkara itu berkata, selepas dibebaskan, hubungan mereka kembali tegang apabila suspek membawa dua anak lelaki mereka berusia enam dan tiga tahun.
“Selepas dibebaskan, dia bawa anak. Kami semua tidak tahu ke mana. Dia hubungi keluarga, berjanji mahu serahkan anak hari ini (Jumaat), tetapi janji itu tidak tertunai, sebaliknya Nurul pergi buat selama-lamanya.
“Lokasi dua anak Nurul masih tidak diketahui sehingga kini. Sekejap suspek kata anak ada di Terengganu, sekejap di Kedah. Kami tidak tahu di mana mereka sekarang. Polis masih menyiasat,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Perotan, Selinsing, di sini hari ini.
Hamidah percaya punca kejadian tersebut disebabkan rasa cemburu apabila suspek mengetahui mangsa bakal berkahwin Oktober ini.
“Dia tahu Nurul ada rancangan untuk berkahwin. Dari situlah saya percaya timbulnya tindakan di luar kawalan ini,” katanya.
Hamidah berkata, kali terakhir dia berjumpa anak saudaranya itu pada Julai lalu di Sungai Petani dan mereka kerap berhubung setiap hari melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, keluarganya hanya mengetahui kejadian yang menimpa Nurul Nur Syamira pada pukul 3 pagi tadi selepas mendapat maklumat mengenai sepasang lelaki dan wanita maut ditikam di Kedah.
“Pada mulanya polis hanya maklumkan ada kejadian kemalangan tetapi tidak beritahu Nurul meninggal akibat ditikam.
“Apabila disahkan, kami semua tergamam. Ketika itu ayah mangsa pun masih belum tiba di hospital,” katanya.
Hamidah menegaskan keluarga hanya mahukan keadilan buat Nurul.
“Harapan kami, biarlah undang-undang menghukum seadil-adilnya. Kehidupan anak saudara saya telah diragut dengan kejam, hanya kerana cemburu,” katanya.
Sementara itu, jenazah mangsa akan dikebumikan malam ini bersebelahan kubur ibunya di Kampung Sungai Perotan, Selinsing di sini. – UTUSAN