Nintendo Switch Online dan eShop Dilancarkan Di Malaysia – Bermula RM13 Sebulan
Effi Saharudin
Seperti yang telah diumumkan pada bulan lalu, Nintendo Switch Online dan Nintendo eShop dilancarkan di Malaysia hari ini. Menerusi Nintendo eShop, pengguna boleh melakukan pembelian dan memuat turun permainan video secara digital, memuat turun DLC dan menguruskan keahlian Nintendo Switch Online. Kesemua permainan dan langganan Nintendo Switch Online disenaraikan dalam mata wang Malaysia.

Di Malaysia langganan Nintendo Switch Online ditawarkan bermula RM13 sebulan dan meningkat ke RM89 untuk setahun. Sementara itu langganan Nintendo Switch Online + Expansion Pack pula ditawarkan pada harga bermula RM 179 untuk langganan setahun. Langganan untuk keluarga juga boleh dilakukan dengan harga bermula RM 169.
Menerusi Nintendo Switch Online, pelanggan boleh menikmati sesi permainan atas talian disamping akses kepada lebih 250 permainan klasik konsol Super Nintendo Entertainment System, Game Boy, dan Nintendo Entertainment System.

Pelanggan Nintendo Switch Online + Expansion Pack turut menerima akses permainan Game Boy Advance dan Nintendo 64 games di Nintendo Switch. Di Nintendo Switch 2 pula, akses permainan Nintendo GameCube juga boleh diakses.
Data permainan turut boleh disimpan ke awanan, akses kepada GameChat (hanya di Switch 2) dan menikmati perkhidmatan Nintendo Music di telefon pintar.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






