Nikon ZR Dilancarkan – Kamera Bingkai Penuh 6K Dengan Kerjasama RED
Amy Maizuraa
Nikon melancarkan Nikon ZR sebagai model pertama dalam siri Z CINEMA yang dibangunkan hasil kerjasama RED Digital Cinema. Kamera ini boleh merakam sehingga resolusi 6K dan menggunakan teknologi warna RED untuk menghasilkan imej sinematik yang berkualiti tinggi.

Nikon ZR dilengkapi sensor bingkai penuh 24.5MP jenis ‘partially stacked’ yang menyokong rakaman 6K pada 60fps dalam format R3D NE (Nikon Edition), N-RAW dan ProRes RAW. Ia turut merakam 4K pada 120fps serta FHD sehingga 240fps untuk gerak perlahan yang lancar dan berkualiti tinggi.

Kamera ini menggunakan auto fokus berasaskan AI, dilengkapi penstabil imej 5-axis dan menyokong integrasi Frame.io untuk muat naik rakaman terus ke awanan. Ia boleh merakam audio 32-bit float melalui mikrofon terbina yang menyokong lima corak rakaman termasuk binaural dan omnidirectional. Ia turut menawarkan ISO asas pada 800 dan 6400 manakala rakaman dalam format R3D NE membenarkan pelarasan ISO sepenuhnya semasa suntingan sama seperti REDCODE RAW.

Nikon ZR hadir dengan skrin LCD 4-inci (1280 x 800 pixel) dan kecerahan maksimum 1000 nits. Ia turut direka tanpa EVF dan kipas dengan reka bentuk kompak seberat kira-kira 540 gram. Nikon ZR akan mula dijual pada akhir Oktober 2025 dengan harga AS$2,199.95 (~RM9,262) untuk badan sahaja.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.