Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menawarkan tiga agenda utama kepada anggota parti itu dalam usahanya mempertahankan jawatan berkenaan semasa pemilihan PKR bagi sesi 2025-2028.
Dia yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata tawaran itu ialah meneruskan program Felo Keadilan untuk melahirkan pemimpin muda berwibawa, memantapkan sistem perkaderan dan pendidikan politik, serta menyusun dan menyiapkan jentera parti bagi menghadapi PRU ke-16.
“Saya ingin mengesahkan bahawa saya akan kekal bertanding bagi jawatan Naib Presiden PKR,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Untuk rekod Nik Nazmi sebelum ini tewas dalam pemilihan peringkat Ketua Cabang Setiawangsa
Katanya dia memohon sokongan daripada semua ahli PKR untuk memberi kepercayaan kepadanya kerana parti itu mesti mengutamakan rakyat dan menampilkan kepimpinan yang berwibawa.
“Saya adalah orang parti dan saya sentiasa meletakkan kepentingan parti serta negara mengatasi segala-galanya.
“Pemilihan kali ini bukan sekadar soal pertandingan, tetapi merupakan amanah besar untuk memastikan idealisme Reformasi terus subur ketika kita sedang diuji dengan kuasa,” katanya.
Selain Ahli Parlimen Setiawangsa itu, turut menyatakan hasrat mempertahankan jawatan naib presiden ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.
– Bernama