Siapa sangka tugasan penerbangan ke Madinah, Arab Saudi pada hujung Ogos lalu membawa seorang kru kabin AirAsia X kepada sebuah misi yang menggembirakan hidup seorang pesara berusia 73 tahun.
Berbekalkan rasa tanggungjawab, kru bernama Zhafry berjaya menunaikan amanah memulangkan dompet yang hilang di Madinah terus ke pintu rumah pemiliknya di Malaysia.
Kisah ini bermula pada 28 Ogos 2025, hari terakhir sebelum pulang, Zhafry – yang kini bertugas sebagai Purser/Inflight Supervisor – keluar mencari farmasi untuk membeli barang keperluan isterinya.
Saat berada di kaunter pembayaran, seorang pekerja Arab menghampirinya sambil menyerahkan sebuah dompet.

“Dompet ini sudah dua hari tertinggal di sini. Saya nampak awak dari Malaysia, mungkin boleh bantu cari pemiliknya,” kata pekerja farmasi tersebut.
Dompet berwarna coklat itu penuh dengan dokumen penting – kad pengenalan, kad bank CIMB, kad pesara, lesen memandu tamat tempoh, slip ATM termasuk pengaktifan transaksi luar negara, selain beberapa ratus ringgit wang tunai.
Tidak berlengah, Zhafry menghubungi isterinya di Malaysia. Bersama-sama, mereka mencuba pelbagai cara untuk menjejaki pemilik: dari media sosial, semakan senarai penumpang, rakan industri penerbangan, hinggalah bantuan mutawif. Namun, semuanya menemui jalan buntu.
Pada 1 September, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), isterinya Amanda mengambil keputusan untuk memandu terus ke alamat tertera pada kad pengenalan.
Saya reda
Perjalanan memakan masa 5 jam 30 minit itu akhirnya membawa mereka ke sebuah rumah di Batu Caves.
Di pintu rumah, seorang lelaki warga emas muncul dengan wajah terkejut.
“Saya kru kabin. Encik ada kehilangan sesuatu,” tanya Zhafry sambil menyerahkan dompet tersebut.
Lelaki yang baru pulang dari menunaikan umrah itu mengaku dia sudah berputus asa.
“Saya sudah reda. Saya fikir memang takkan jumpa lagi,” katanya sebak.
“Saya hidup sebatang kara. Bila ada yang sanggup pulangkan, saya amat terharu.”
Sebagai tanda terima kasih, pesara itu menghulurkan RM100. Walaupun pada awalnya menolak, Zhafry dan pasangannya menerima tanda terima kasih itu.
Amanda, isterinya, menyifatkan pengalaman itu benar-benar menyentuh hati.
“Sejak memeluk Islam, setiap kali berada di Madinah saya merasai satu aura yang sukar dijelaskan.
“Kisah ini mengingatkan kami bahawa apabila seseorang berniat baik, Allah akan bukakan jalan,” katanya.
Pasangan itu turut menegaskan, jika alamat pada kad pengenalan tidak sah, mereka bersedia menyerahkan dompet tersebut kepada polis.
Netizen yang mengikuti kisah ini pula membanjiri ruangan komen dengan pujian, menyifatkan tindakan pasangan itu ikhlas kerana sanggup menempuh perjalanan jauh demi mencari pemilik dompet berkenaan.