Persatuan Petaling Jaya Lestari (PJ Lestari) memfailkan prosiding komital terhadap kerajaan Selangor kerana didakwa gagal mematuhi keputusan mahkamah pada Mac 2025 berhubung projek lebuh raya bertingkat PJD Link.
Setiausaha PJ Lestari, Wong Mei Ching menyifatkan kegagalan pihak berkuasa menyerahkan dokumen berkaitan dalam tempoh yang ditetapkan sebagai satu cabaran terhadap kedaulatan undang-undang dan bentuk penghinaan terhadap mahkamah.
“Walaupun keputusan mahkamah jelas berpihak kepada kami (penduduk) yang diberikan akses kepada laporan penilaian impak alam sekitar (EIA), penilaian impak sosial (SIA), penilaian impak trafik (TIA), serta butiran jajaran projek lebuh raya PJD Link, tetapi pihak berkuasa tetap gagal menyerahkan dokumen ini dalam tempoh ditetapkan.
“Kelewatan ini bukan sahaja mencabar kedaulatan undang-undang malah menandakan satu bentuk penghinaan serius terhadap mahkamah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Perintah mahkamah tidak dipatuhi
Pada 26 Mac lalu, empat penduduk Petaling Jaya berjaya mendapat perintah mahkamah sivil yang mengarahkan Jabatan Perancangan Desa Negeri Selangor menyerahkan empat dokumen penting berhubung cadangan pembinaan projek itu.
Perintah tersebut membenarkan semakan kehakiman untuk mendapatkan laporan EIA, SIA, TIA serta jajaran lebuh raya. Jabatan negeri terbabit diwajibkan menyerahkan laporan tersebut dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan mahkamah.

Menurut PJ Lestari semakan kehakiman oleh penduduk difailkan seawal tahun 2023 dengan sokongan awam yang luas, termasuk melalui kutipan dana orang ramai.
“Selepas hampir dua tahun berdepan prosiding undang-undang, akhirnya ada keputusan positif. Namun, bukannya ketelusan dan akauntabiliti yang kami terima, sebaliknya tiada respon serta sikap sambil lewa birokrasi,” kata Wong.
Dia menggesa kerajaan Madani mengambil tindakan segera, antaranya memastikan dokumen yang diperintahkan mahkamah segera dikeluarkan, prinsip ketelusan serta tadbir urus baik dijunjung, dan projek infrastruktur masa depan benar-benar melalui rundingan serta penelitian awam.
“Sikap acuh tak acuh pegawai kerajaan terhadap perintah mahkamah adalah tidak boleh diterima dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kita.

“Penduduk Petaling Jaya sudah muak diketepikan.
“Kami kini telah mengambil langkah untuk meneruskan prosiding komital terhadap kerajaan negeri dan sedang menunggu tarikh pendengaran daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” tambahnya.
‘April batal, Julai cadangan baru’
Pada 7 Jun 2023, empat penduduk memfailkan tindakan undang-undang selepas pihak berkuasa gagal mematuhi tempoh tujuh hari yang ditetapkan untuk menyerahkan dokumen berkenaan.

Menurut afidavit sokongan, penduduk berkata mereka terpaksa memohon semakan kehakiman selepas tidak menerima sebarang maklum balas terhadap perintah tersebut.
Mereka menegaskan projek PJD Link memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada kehidupan seharian, justeru berhak mengakses dokumen bagi mendapatkan maklumat menyeluruh mengenai skop, kesan serta syarat projek.
Pada April 2024, kerajaan mengumumkan projek itu dibatalkan kerana pemaju gagal memenuhi beberapa syarat.
Namun, pada Julai 2024, kerajaan Selangor memaklumkan pemaju telah mengemukakan cadangan baru untuk menghidupkan semula projek sepanjang 25.4km, tertakluk kepada kelulusan awam melalui satu lagi pusingan penilaian impak sosial (SIA).