Malaysia Oversight

NGO gesa kerajaan tangguh skim kesihatan ‘dua darjat’

By MkiniBM in July 16, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) menggesa menangguhkan serta-merta pelaksanaan skim Rakan Kementerian Kesihatan (KKM), dan melaksanakan kajian semula yang menyeluruh, bebas dan telus terhadap kesan jangka panjangnya terhadap keadilan, akses dan integriti sistem kesihatan negara.

Menegaskan bahawa kesihatan bukan kemewahan dan hak rakyat, pertubuhan itu mendakwa keputusan untuk melaksanakan skim Rakan KKM sebagai “dasar songsang” dan berisiko tinggi serta membuka jalan kepada penswastaan senyap sistem kesihatan awam.

Presidennya Armin Baniaz Pahamin berkata, program rintis Rakan KKM yang membenarkan pesakit membayar untuk mendapat akses rawatan lebih cepat di hospital merupakan pengkhianatan terhadap prinsip asas kesihatan sejagat.

b546289c8e08aa128754fd71e07056b5
Armin Baniaz Pahamin

Tegasnya, rawatan seharusnya diberikan mengikut keperluan perubatan, sebaliknya bukan kemampuan kewangan.

“Pelaksanaan skim ini menandakan satu peralihan yang membimbangkan daripada model perkhidmatan awam berasaskan hak kepada model pasaran yang mengutamakan kelebihan kewangan.

“Rakan KKM bukan reformasi. Ia adalah penswastaan yang diselindungkan di sebalik bahasa kemajuan. Ia menjual keutamaan dalam sistem yang sepatutnya melindungi golongan paling terpinggir, bukan mereka yang paling kaya.

“GEM menegaskan bahawa sistem kesihatan awam yang adil dan berkesan harus sentiasa meletakkan keutamaan klinikal melebihi pertimbangan komersial,” kata Armin dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif Rakan KKM bukan penswastaan, sebaliknya usaha transformasi untuk memperbaiki akses terhadap prosedur perubatan elektif kemudahan kesihatan awam.

Dia berkata, kementerian dapat memanfaatkan kepakaran sedia ada serta kapasiti dalam kemudahan kesihatan awam untuk menawarkan pilihan kepada pesakit bagi mendapatkan rawatan elektif dengan lebih cepat melalui inisiatif ini.

Jelasnya lagi, program ini tidak melibatkan sebarang pembiayaan swasta, sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang yakin terhadap keupayaan sistem kesihatan awam.

Armin Baniaz berkata, sekiranya skim itu dilaksanakan tanpa pengawal seliaan yang ketat, tanpa ketelusan dan tanpa rangka kerja keadilan sosial yang jelas, Rakan KKM boleh menjadi permulaan kepada pengkomersialan sistem kesihatan.

Tegasnya, inisiatif ini akhirnya akan meminggirkan komuniti yang paling memerlukan perlindungan khususnya golongan marhaen.

GEM memberi amaran bahawa pelaksanaan Rakan KKM tanpa pelindungan yang bermakna akan membawa risiko seperti berikut:

1. Ketidaksamarataan sistemik, kelajuan rawatan ditentukan oleh kekayaan, bukan keperluan kesihatan.

2. Pengalihan sumber awam, apabila doktor memberi keutamaan kepada pesakit berbayar berbanding rakyat biasa.

3. Kemerosotan kepercayaan awam, apabila rakyat menyaksikan nilai kesaksamaan dalam sistem kesihatan semakin terhakis.

4. Ketumpulan dasar fiskal, apabila kerajaan mula bergantung kepada bayaran pesakit daripada menangani kelemahan struktur pembiayaan sedia ada.

GEM turut membandingkan pendekatan Malaysia dengan “model dua amalan” di negara seperti United Kingdom, Australia dan Perancis.

Armin Baniaz berkata, sistem seumpama itu hanya diperkenalkan selepas infrastruktur kesihatan awam diperkuat terlebih dahulu melalui pemantauan bebas, pengasingan sumber yang tegas serta tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.

“Sebaliknya, Malaysia masih bergelut dengan pelbagai cabaran sistemik yang serius,” katanya. 

“KKM sendiri mengakui bahawa negara menghadapi kekurangan lebih 11,000 pakar perubatan, manakala hospital awam berdepan masalah fasiliti usang, beban kerja yang berlebihan, dan kesesakan melampau.”

Justeru katanya, dalam keadaan “rapuh” itu, memperkenalkan model rawatan berbayar seperti Rakan KKM hanya akan mengalihkan masa dan tumpuan pakar kesihatan awam kepada pesakit yang mampu membayar, sekali gus menjejaskan akses dan kualiti rawatan untuk majoriti rakyat.

“Kita tidak boleh membenarkan sistem kesihatan dua darjat berakar dalam negara ini — satu yang mempercepatkan rawatan untuk golongan kaya, dan satu lagi yang menyuruh golongan miskin menunggu, menderita atau mati dalam diam,” tegasnya lagi.

Tambahnya langkah ini bukan sekadar kesilapan dasar tetapi krisis moral dan sosial yang sedang terbentuk.

“Jika kerajaan terus memilih jalan ini, ia bukan sedang membaiki sistem tetapi ia sedang menyingkirkan rakyat,” kata Armin Baniaz.



Source link