NGO alam sekitar, RimbaWatch mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penglibatan syarikat-syarikat Malaysia yang didakwa terlibat dalam aktiviti pembalakan tidak mampan di hutan hujan Papua New Guinea.
Pengarah RimbaWatch, Adam Farhan merujuk laporan terbaru yang mendedahkan peranan syarikat dan individu Malaysia dalam penebangan hutan Papua New Guinea melalui lesen Forest Clearing Authority (FCA).
Di bawah sistem pelesenan FCA – yang dikatakan menjadi “pemacu utama penebangan hutan dan pencabulan hak asasi manusia” di negara itu – syarikat dibenarkan menebang kawasan hutan luas atas alasan pembangunan pertanian.
Namun, menurut laporan tersebut, banyak syarikat gagal melaksanakan projek pertanian yang dijanjikan. Sebaliknya, firma pembalakan – termasuk beberapa yang didakwa mempunyai kaitan dengan Malaysia – meraih keuntungan besar daripada penjualan kayu balak berskala besar sambil meninggalkan tanah rosak serta menyingkirkan komuniti Orang Asli tempatan.

Laporan itu turut mempersoalkan kesahan lesen FCA, dengan mendakwa sistem tersebut gagal membawa pembangunan yang dijanjikan, malah menggalakkan penebangan hutan, kekurangan ketelusan, serta pelanggaran hak tanah adat tanpa persetujuan bebas dan dimaklumkan daripada pemilik tanah.
“Dari sudut pandangan kami sebagai sebuah organisasi Malaysia, kami tahu sistem FCA sangat berisiko tinggi terhadap pelbagai bentuk pelanggaran, termasuk undang-undang alam sekitar dan kewangan.
“Kami mahu SPRM menjalankan siasatan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002, bersama pihak berkuasa Papua New Guinea,” kata Farhan pada sidang media hari ini.
Majlis turut dihadiri penyelaras Papua New Guinea Environmental Alliance (PNGEA), Pamela Abusi; timbalan pengarah Bruno Manser Fund, Johanna Michel; wakil Indigenous Peoples’ Organisation Keruan dari Sarawak, Komeok Joe; serta aktivis hak tanah Papua New Guinea, Samuel Kime.

Laporan setebal 56 muka surat bertajuk “Malaysia’s Timber Colony: Exposing Malaysia’s Grip Over Papua New Guinea’s Forests” itu terbitan bersama oleh RimbaWatch, Bruno Manser Fonds dan PNGEA.
Antara tuntutan utama, laporan itu menggesa SPRM menilai sama ada syarikat Malaysia memperoleh konsesi secara haram, serta menentukan jika mereka mematuhi undang-undang tempatan dan antarabangsa.
Laporan itu turut mendesak SPRM menyemak sama ada syarikat berkenaan terbabit dalam pengelakan cukai atau pelanggaran undang-undang pengubahan wang haram, termasuk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
“Kerajaan Malaysia perlu segera merangka undang-undang anti-SLAPP (Strategic Lawsuit Against Public Participation) bagi melindungi pembela hak Orang Asli, NGO dan aktivis daripada ugutan serta tindakan undang-undang oleh syarikat korporat,” tambah laporan itu.
Biodiversiti dunia
Papua New Guinea dikenali sebagai salah satu kawasan paling penting untuk biodiversiti dunia dan menempatkan hutan hujan tropika ketiga terbesar di dunia yang meliputi kira-kira 28.2 juta hektar.
Namun, kawasan ini diancam apabila laporan berkenaan mendedahkan sekurang-kurangnya 1.68 juta hektar hutan hujan — bersamaan keluasan negara Eswatini dan keseluruhan ladang kelapa sawit di Sarawak — kini berada dalam bahaya akibat lesen FCA.
Walaupun Pihak Berkuasa Perhutanan Papua New Guinea mengumumkan moratorium selama 12 bulan terhadap kelulusan FCA baru pada 2023, laporan itu menyatakan langkah tersebut hampir tidak membawa kesan.

Ini memandangkan jumlah eksport kayu balak kekal hampir sama pada paras 2.54 juta meter padu sepanjang tahun itu, menurut laporan berkenaan.
Majoriti besar lesen FCA juga dikatakan dikawal oleh syarikat yang mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Daripada 67 lesen FCA, hanya dua lesen tidak melibatkan pihak Malaysia — menjadikan rakyat dan syarikat Malaysia bertanggungjawab terhadap 97 peratus daripada keseluruhan lesen. Laporan itu turut mendakwa 79 individu berkaitan Malaysia yang dikenal pasti berdepan tuduhan pembalakan haram, penipuan dan salah laku lain.
Beberapa individu Malaysia yang disebut juga dikatakan mempunyai hubungan dengan “keluarga berpengaruh dalam politik,” syarikat pembalakan utama dan pernah dinamakan dalam pendedahan Panama Papers pada 2016.

“Sejak memulakan aktiviti pembalakan di Papua New Guinea lebih 30 tahun lalu, syarikat berkaitan Malaysia telah menjadikan negara itu pengeksport utama kayu balak tropika dalam tempoh singkat.
“Sejak 2013, Papua New Guinea menjadi pengeksport terbesar kayu tropika dunia, mengatasi Malaysia yang memegang kedudukan tersebut selama tiga dekad — sehinggalah hanya 10 peratus daripada hutan asli utamanya yang tinggal,” kata laporan itu.
Malaysiakini kini sedang menghubungi syarikat-syarikat yang dinamakan dalam laporan berkenaan untuk mendapatkan maklum balas mereka.






