Malaysia Oversight

NGO desak PM rehatkan Azam, gubal undang-undang dana politik

By MkiniBM in November 29, 2025 – Reading time 2 minute
NGO desak PM rehatkan Azam, gubal undang-undang dana politik


Beberapa NGO mendesak Perdana Menteri, Ibrahim supaya mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengambil cuti selepas dia dikaitkan dengan satu skandal rasuah oleh ahli perniagaan, Albert Tei.

Mereka juga mengecam tindakan keras pegawai SPRM ketika menahan Tei semalam, dan menegaskan perkara itu menghakis kepercayaan orang ramai terhadap agensi tersebut, selain menunjukkan SPRM menggunakan pendekatan lebih lembut terhadap individu lain yang turut dikaitkan dalam skandal itu.

“Jika dakwaan Tei cukup kukuh untuk membolehkan bekas setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin ditahan, bagaimana pula dakwaan yang mengaitkan Azam boleh diabaikan?

“Jika mahu menepis tuduhan bahawa dia memanipulasi SPRM untuk menyerang musuh politiknya, langkah minimum yang perlu diambil ialah meletakkan Azam dalam ‘garden leave’ sehingga namanya dibersihkan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Antara pihak yang mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah Projek Sama, Bersih, Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), dan Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas).

Pada 25 Nov lalu, Tei mengaitkan Shamsul dalam skandal penerokaan mineral Sabah dengan mendakwa dia telah membelanjakan RM629,000 untuk pemimpin itu selepas diberi jaminan boleh mendapatkan semula wang yang telah diberi kepada ahli-ahli politik di Sabah.

5549b0b0a7cfc432737d9ae44a81e326

Tei mendakwa dia diperkenalkan kepada Shamsul oleh seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong, yang menurutnya adalah proksi kepada setiausaha politik perdana menteri itu.

Pertemuan pertama mereka berlangsung pada 8 Nov 2023, sekitar jam 10 malam di Jesselton Cigaro, Kota Kinabalu.

Dia turut mendakwa mempunyai bukti bahawa Sofia bertindak bagi pihak Shamsul.

Penahanan Tei dan laporan polis

Semalam, pegawai SPRM menahan Tei di kediamannya, menyebabkan isterinya, Lee Pei Rie, membuat laporan polis mengenai cara suaminya ditahan.

Antara dakwaannya ialah pegawai terbabit mengacukan pistol ke arah mereka dan memadamkan video daripada telefon bimbit milik semua ahli keluarga mereka di rumah berkenaan.

Tei dan Shamsul kini ditahan reman selama enam hari bermula pagi ini, manakala Sofia pula direman sehingga Isnin.

Reformasi terhadap SPRM

Sementara itu, kumpulan NGO terbabit menggesa melaksanakan reformasi ke atas SPRM dan menggubal undang-undang penedaan politik sebelum pilihan raya umum ke-16.

Menurut mereka, SPRM perlu dijadikan sebuah badan bebas yang bertanggungjawab kepada Parlimen.

perlu mendapatkan maklum balas daripada jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pencalonan ketua pesuruhjaya SPRM.

“Kita juga perlu menyediakan perlindungan tempoh perkhidmatan untuk ketua pesuruhjaya SPRM serta mewujudkan proses sewajarnya bagi pemecatannya.

“Selain itu, SPRM perlu membentangkan laporan tahunan kepada Parlimen untuk dibahaskan,” kata mereka.

Bagi undang-undang pendanaan politik, mereka berkata peraturan tersebut perlu mengawal dengan jelas sumber, had dan pendedahan sumbangan politik.

NGO-NGO itu turut menggesa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk menaikkan had perbelanjaan pilihan raya melebihi paras semasa iaitu RM200,000 bagi kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Kita juga mesti memasukkan perbelanjaan oleh parti politik dan proksi.

“Pembiayaan awam berdasarkan jumlah atau peratusan undi yang diperoleh calon juga perlu dimasukkan dalam Akta Pembiayaan Politik atau mana-mana undang-undang lain,” tambah mereka.



Source link