Malaysia Oversight

New York mungkin tak lagi sesuai jadi lokasi PBB

By MkiniBM in September 28, 2025 – Reading time 1 minute
New York mungkin tak lagi sesuai jadi lokasi PBB


GLOBAL | Presiden Colombia Gustavo Petro berkata keputusan AS membatalkan visanya menunjukkan New York mungkin tidak lagi sesuai menjadi tuan rumah bagi ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Xinhua melaporkan Petro sebagai berkata keputusan Washington itu melanggar prinsip kekebalan yang menjadi asas kepada PBB, sambil menyeru supaya undang-undang antarabangsa dihormati.

Kelmarin Petro menyertai demonstrasi pro-Palestin di luar ibu pejabat PBB di New York, dan dia menggesa askar negara itu supaya tidak menghalakan senjata mereka terhadap kemanusiaan.

“Ingkari arahan ! Patuhilah arahan kemanusiaan!” katanya.

Sebagai tindak balas, Jabatan Negara AS pada mengumumkan di media sosial bahawa “kami akan membatalkan visa Petro kerana tindakannya yang melulu dan menghasut.”

Semalam pula Petro menulis di media sosial bahawa dia tidak lagi memiliki visa AS namun menambah “saya tidak peduli.”

Dia juga menyatakan di X: “Terdapat kekebalan penuh bagi presiden yang menghadiri Perhimpunan (Agung PBB).”

Presiden Colombia itu turut mengkritik Washington kerana menghalang wakil Palestin daripada menghadiri Perhimpunan Agung PBB, dan sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan bencana kemanusiaan di Gaza.

“Menafikan kemasukan kepada Pihak Berkuasa Palestin dan membatalkan visa saya kerana meminta tentera AS dan Israel agar tidak menyokong genosid — yang merupakan jenayah terhadap seluruh kemanusiaan — membuktikan AS tidak lagi mematuhi undang-undang antarabangsa,” katanya.

Petro turut menggesa Presiden AS Donald supaya mempertimbangkan semula sokongannya terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza, dengan menegaskan bahawa AS tidak akan mencapai kehebatan “dengan membunuh bayi yang tidak berdaya.”

Bernama/Xinhua



Source link