Syarikat makanan Switzerland, Nestlé pada Isnin mengumumkan pemecatan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Laurent Freixe berkuat kuasa serta-merta selepas siasatan mendapati beliau menjalinkan hubungan dengan seorang pegawai bawahan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lembaga pengarah menilai tindakan Freixe sebagai satu pelanggaran kod etika dan garis panduan dalaman Nestlé, menurut kenyataan syarikat itu.
“Keputusan ini perlu diambil,” kata Pengerusi Nestlé, Paul Bulcke sambil merakamkan penghargaan kepada Freixe yang telah berkhidmat hampir 40 tahun bersama syarikat itu.
Lembaga pengarah melantik Ketua Pegawai Eksekutif Nespresso, Philipp Navratil sebagai pengganti Freixe.
Syarikat menegaskan hala tuju strategiknya kekal tidak berubah, namun berhasrat mempercepatkan pertumbuhan dan kecekapan.
Navratil yang menyertai Nestlé sejak 24 tahun lalu memulakan kerjayanya dalam bahagian audit dalaman pada 2001.
Setahun lalu, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Nespresso dan sejak Januari tahun ini, turut menjadi anggota lembaga eksekutif.
Freixe hanya mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé pada September 2024, menggantikan pengurus dari Jerman yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Fresenius, Mark Schneider.
– Bernama