Nepal Menarik Semula Halangan Media Sosial Selepas Rakyat Merusuh
Effi Saharudin
Kerajaan Nepal menarik semula arahan menghalang platform media sosial seperti Facebook, X, YouTube dan lain-lain, selepas pelbagai perkhidmatan berkenaan gagal mendaftar seperti yang diminta oleh kerajaan. Penarik semula dilakukan selepas berlaku rusuhan oleh rakyat yang membantah sehingga menyebabkan 19 kematian dan lebih 100 kecederaan dilaporkan setakat ini.
Pada waktu yang sama kerajaan Nepal akan memberikan bantuan kepada keluarga mangsa yang terkorban dan memberikan rawatan percuma kepada mereka yang tercedera. Sebuah panel siasatan akan dibentuk bagi mencari sebab, mengira kos kerosakan dan memberikan cadangan tindakan yang boleh diambil bagi mengelakkan insiden yang sama berlaku sekali lagi.

Protes jalanan yang menerima gelaran “demonstrasi Gen Z” berlaku hujung minggu lalu sejurus selepas pengharaman platform media sosial dikeluarkan oleh kerajaan. Golongan muda berdemo kerana kerajaan dilihat gagal membasmi isu penyelewengan dan meningkatkan peluang ekonomi untuk generasi muda.
Sebelum arahan pengharaman dikeluarkan, kerajaan meminta pengendali perkhidmatan media sosial untuk mendaftar dengan memberikan pekerja tempatan yang boleh dihubungi, termasuk melantik individu yang akan bertanggungjawab untuk memantau perkhidmatan berkenaan secara kendiri. Setakat ini hanya beberapa yang mendaftar seperti TikTok dan Viber.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.