Malaysia Oversight

Nepal dilaporkan tolak syarat baru Malaysia

By MkiniBM in November 6, 2025 – Reading time 2 minute
Nepal dilaporkan tolak syarat baru Malaysia


Kathmandu dilaporkan menolak syarat baru yang ditetapkan berhubung pemilihan syarikat tenaga kerja dari negara sumber, dengan menyifatkan kriteria itu tidak boleh diterima serta bertentangan dengan perundangan serta dasar buruh sedia ada.

Menurut laporan media Nepal, eKantipur, melalui Kementerian Buruh, Pekerjaan dan Keselamatan Sosial menghantar surat diplomatik kepada Malaysia kelmarin untuk menyatakan mereka tidak dapat memenuhi syarat tersebut.

Media itu melaporkan, surat berkenaan dihantar melalui Wisma Putra.

Menurut seorang pegawai kanan di Pejabat Perdana Menteri Nepal yang dipetik eKantipur, peraturan yang dicadangkan Malaysia memerlukan pindaan terhadap undang-undang domestik.

“Ketika ini tidak ada kemungkinan untuk melakukannya.

“Penghantaran tenaga kerja ke Malaysia telah lama dijalankan mengikut Akta Pekerjaan Luar Negara, dasar imigresen kebangsaan serta perjanjian buruh dua hala antara kedua-dua negara.

“Hubungan buruh di antara Malaysia dan Nepal kukuh. Namun sebarang isu perlu diselesaikan melalui rundingan bersama, bukan dengan menetapkan syarat sepihak,” katanya.

Surat itu adalah respon Nepal kepada langkah Malaysia yang menetapkan 10 kriteria baru untuk memilih syarikat sebagai sumber tenaga kerja dari lima negara luar, dengan Nepal menjadi salah satunya.

Beri komitmen aspek kebajikan

Pegawai itu turut memaklumkan keputusan Kathmandu itu dibuat atas arahan perdana menteri sementara, Sushila Karki, yang kini turut memegang dua portfolio lain iaitu hal ehwal buruh dan luar negara.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan kementerian luar menetapkan 10 kriteria wajib untuk dipenuhi oleh agensi luar negara yang berurusan membekalkan pekerja ke Malaysia.

Pada 27 Okt lalu Wisma Putra menghantar surat – yang dilihat Malaysiakini – kepada kedutaan negara-negara sumber terbabit dan meminta mereka menyerahkan senarai agensi yang mampu memenuhi semua syarat itu selewat-lewatnya 15 Nov ini.

Bagaimanapun, dua persatuan antarabangsa mengecam syarat baru tersebut kerana disifatkan tidak realistik, tidak adil dan berpotensi menghidupkan semula “sindiket”.

Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Asing Bangladesh (Baira) dan Persatuan Agensi Pekerjaan Asing Nepal (Nafea) berkata 10 kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Luar Malaysia adalah “mustahil” dipenuhi.

Mereka turut mendakwa syarat itu hanya helah untuk mengawal pasaran dan menyingkirkan agensi baru, selain beberapa individu di Malaysia menjadi “dalang” di sebalik cubaan menghidupkan semula sistem sindiket.

7103e648cd3f686173b4a48f3a2587b0

Wisma Putra bagaimanapun menjelaskan sebarang persoalan berhubung kriteria dan dasar pengambilan pekerja asing perlu dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) selaku peneraju dalam hal tersebut.

Sementara itu, Nepal turut memaklumkan bahawa mesyuarat jawatankuasa teknikal bersama akan diadakan bagi membincangkan perkara itu, selain menegaskan komitmen untuk memastikan kebajikan dan keselamatan pekerja Nepal di Malaysia terus terjamin.

Shusila dilaporkan sudah memberi arahan kepada Setiausaha Luar Nepal, Amrit Kumar Rai, untuk mengadakan rundingan peringkat tinggi dengan serta pemangku duta Malaysia di Kathmandu.



Source link