NEF Impact Tech 2026 Berlangsung Di Asia Pacific University (APU) – Menjelaskan Potensi AI Masa Kini
Amy Maizuraa
NEF Impact Tech 2026 telah berlangsung hari ini di Asia Pacific University (APU), Technology Park Malaysia (TPM), Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan tema ‘Where Technology Meets Purpose’. Tema ini menekankan peranan teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI) untuk tujuan yang lebih besar.

Program ini turut menghimpunkan pakar teknologi, pengasas syarikat dan cendekiawan, manakala perbincangannya pula memberi tumpuan pada bagaimana teknologi hijau, perusahaan sosial dan kecerdasan buatan dapat digabungkan bagi memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam sesi ‘AI for Productivity, Profitability and Scale’, dua pakar menjelaskan bahawa AI boleh membantu syarikat bekerja dengan lebih cekap, meningkatkan keuntungan dan berkembang lebih cepat. Namun begitu, mereka turut mengingatkan bahawa AI mempunyai kelebihan dan kelemahan yang perlu difahami. Antaranya, AI bukan sekadar bergantung pada prompt, sebaliknya memerlukan latihan berterusan serta panduan yang jelas supaya dapat digunakan dengan betul.

Selain itu, AI mampu menjadikan kerja lebih mudah, mempercepatkan proses automatik dan membina prototaip, sekali gus membantu syarikat baharu mencuba idea dengan lebih pantas. Pada masa sama, mereka menegaskan bahawa kualiti data sangat penting kerana prinsip ‘garbage in, garbage out’ masih terpakai. Maksudnya, jika input buruk maka output juga akan buruk. Oleh itu, hasil yang baik bergantung sepenuhnya pada kualiti input, dan data mesti dijaga sejak awal dengan komitmen terhadap data berkualiti.

Dari segi kos, faktor ini memainkan peranan penting dalam menilai pelaksanaan AI. Oleh itu, syarikat perlu mencari keseimbangan dengan memastikan maklumat peribadi sentiasa dilindungi sebelum dihantar kepada LLM. Pada masa yang sama, timbul kebimbangan bahawa promosi AI sebenarnya lebih tertumpu kepada usaha menjual perkhidmatan pengkomputeran awan (cloud hosting).

Maka, penting untuk memastikan teknologi AI kekal boleh diakses di Malaysia. Menurut kedua-dua pakar, negara ini kini menunjukkan trend positif dalam bidang AI, selain berperanan mengukuhkan kedudukan sebagai pusat pengurusan dan sumber, sekali gus membuka peluang besar kepada rakyat.
Namun begitu, mereka mengingatkan bahawa teknologi ini bukan hanya berfungsi untuk mengurangkan beban kerja malah boleh mencipta tugasan baharu. Oleh itu, budaya syarikat perlu diberi perhatian sementara itu pekerja harus didedahkan dengan ‘prompt engineering’ iaitu memberi arahan yang berkualiti pada AI.

Di samping itu, kualiti pekerja juga penting, khususnya mereka yang minat terhadap bidang yang diceburi. Dalam aspek pengkodan, AI berguna untuk membina prototaip tetapi kurang sesuai bagi produksi. Justeru, had penggunaannya perlu difahami dengan jelas. Selain itu, pembangun UX juga perlu memahami asas pengkodan kerana AI dapat membantu mereka menyediakan pengalaman penggunaan yang lebih efisien.

Selain itu, isu ‘Wrapper problem’ turut dibincangkan iaitu keperluan menilai terlebih dahulu sebelum membina sistem. Pendekatan yang disarankan ialah bermula dengan pendedahan, kemudian membuat penilaian dan akhirnya membina sistem. Dalam konteks pendidikan, mereka menekankan kepentingan membangunkan sistem pembelajaran yang mampu bersedia menghadapi masa depan dengan AI.

Fokus perlu diberikan kepada peningkatan kemahiran, sambil mengekalkan kemahiran asas pengaturcaraan. AI boleh digunakan dalam tugasan, tetapi tugasan mesti direka supaya pelajar berfikir secara mendalam. Selain itu, pensyarah digalakkan membangunkan garis panduan penggunaan AI serta menyediakan alat sokongan untuk membantu proses pengajaran.

Dalam sesi bertajuk ‘What’s Next for AI in Malaysia? Predictions for Business in the Next 3 Years’, perbincangan mengetengahkan kesan serta masa depan AI di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang. Antara kebimbangan utama ialah kekurangan bakat tempatan dan keperluan melatih semula tenaga kerja sedia ada agar selari dengan keperluan industri yang semakin bergantung kepada teknologi.

Para pakar turut menekankan potensi AI yang bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti, tetapi juga berupaya merapatkan jurang antara kecerdasan manusia dan kecerdasan buatan. Hal ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana masyarakat mendefinisikan peranan manusia dalam era teknologi baharu.
AI tidak akan menggantikan peradaban manusia, sebaliknya ia mencerminkan nilai, budaya dan prinsip yang membentuk masyarakat. Justeru, pembangunan AI di Malaysia perlu berlandaskan identiti tempatan agar teknologi ini benar-benar memberi manfaat kepada pengguna.

Selain itu, kepentingan kandungan kreatif turut diberi perhatian. Malaysia digesa membangunkan model AI sendiri dan tidak sekadar meniru acuan Barat, bagi mengelakkan ketidakadilan budaya serta pengaruh nilai luar. Perbincangan juga menyentuh isu sensitiviti data dan keperluan meneliti sumber data yang digunakan untuk melatih model AI. Penekanan diberikan agar model disesuaikan supaya mencerminkan nilai serta budaya tempatan.

Dalam perbincangan tersebut, beberapa pandangan menarik turut dikemukakan. Misalnya, pengguna kini mengejar AI yang pantas, pintar dan murah, manakala universiti pula perlu menekankan pendidikan berasaskan nilai. Pada masa yang sama, sistem pendidikan mesti berubah seiring dengan perkembangan AI kerana data prompt yang digunakan tidak selalu tepat.
Oleh itu, pembinaan sahsiah perlu bermula dari rumah dan diterapkan sejak kanak-kanak. Walau apa pun sekatan yang ditetapkan kerajaan, asasnya tetap kembali kepada pendidikan berasaskan nilai, iaitu bagaimana pengguna mampu mengatasi batasan tersebut.


Untuk makluman, NEF Impact Tech 2026 mendapat kerjasama daripada New Entrepreneur Foundation, Satu Creative serta beberapa penaja lain. Selain itu, beberapa booth turut disediakan untuk dilawati sepanjang program berlangsung.





