PARLIMEN l Seramai 23 pemain bola sepak telah diberi taraf kewarganegaraan Malaysia melalui proses naturalisasi sejak tahun 2018 termasuk tujuh pemain warisan negara, dan semua kelulusan ini dibuat mengikut peruntukan undang-undang serta Perlembagaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setiap permohonan diproses mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-kaedah Warganegara 1964 yang menetapkan tiga syarat utama iaitu pemohon mesti bermastautin di Malaysia, berkelakuan baik serta mempunyai pengetahuan mencukupi dalam Bahasa Melayu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Zakri ingin tahu statistik pemain yang telah dinaturalisasikan sejak 2018 hingga kini serta kelayakan dan kriteria yang digunakan oleh kerajaan atau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam proses penentuan seseorang pemain untuk dinaturalisasikan.
Saifuddin Nasution berkata proses naturalisasi ketujuh-tujuh pemain telah melalui tapisan dan penilaian teliti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) termasuk temu bual dan semakan biometrik sebelum diberikan taraf warganegara.

“Apakah proses pemberian warganegara terhadap tujuh pemain ini mematuhi semua peruntukan perlembagaan, akta, kaedah warganegara dan Perlembagaan Persekutuan? Jawapannya ya… sangat jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Zakri mengenai tempoh penyediaan dokumen pemain oleh JPN, kemungkinan berlakunya pemalsuan dokumen dan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani isu yang didakwa menjejaskan imej negara itu.
FAM dan tujuh pemain naturalisasi kebangsaan telah dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang berkaitan dengan pemalsuan dokumen.

Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Sementara itu, Saifuddin Nasution memaklumkan bahawa selain pemain bola sepak, KDN pernah meluluskan permohonan kewarganegaraan bagi atlet sukan lain seperti gimnastik, menembak, bola keranjang dan badminton, serta individu berkemahiran tinggi dalam bidang sains, perubatan dan kejuruteraan yang menyumbang kepada negara.
Pada sidang media selepas itu, beliau berkata KDN telah menggunakan kuasa pengecualian di bawah Seksyen 20(1)(i) Jadual Kedua Bahagian Tiga Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan ketujuh-tujuh pemain diberikan taraf kewarganegaraan tanpa melanggar sebarang peruntukan undang-undang.

Beliau berkata peruntukan itu memberi kuasa kepada menteri untuk menganggap seseorang pemohon sebagai bermastautin di Malaysia walaupun berada di luar negara atas sebab munasabah.
“Apabila kita invoke seksyen ini, perkara pertama dianggap telah dipenuhi. Pemohon berkelakuan baik, rekod keselamatan bersih dan memiliki pengetahuan mencukupi. Jadi, kita sahkan kelayakan mengikut Perlembagaan negara,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata JPN turut menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 10A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 bagi pendaftaran semula kelahiran jika Pendaftar Besar berpuas hati dengan bukti yang dikemukakan termasuk hasil temu bual serta semakan dokumen sokongan.
“Undang-undang membolehkan Pendaftar Besar mendaftarkan kelahiran jika bukti mencukupi. Tiada keperluan untuk menyertakan sijil lahir datuk atau nenek seperti yang dibangkitkan kerana ia bukan syarat di bawah Perkara 19,” katanya.
Menjawab dakwaan pemalsuan dokumen oleh badan antarabangsa, beliau berkata semua dokumen yang dikeluarkan oleh JPN adalah sah dan berpaksikan perundangan Malaysia.
Saifuddin Nasution juga berkata peraturan untuk mewakili negara tertakluk kepada Statut FIFA yang menggariskan empat kategori kelayakan pemain warisan.
“Itu bidang kuasa FAM dan FIFA. Isu pemain warisan ialah pematuhan kepada peraturan bola sepak antarabangsa, bukan kepada undang-undang kewarganegaraan negara,” katanya.
– Bernama






