Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud mendapat kecaman kerana mendakwa tiada tanah adat di negeri itu dan negeri lain di Smeenanjung Malaysia.
Menurut kumpulan hak asasi Orang Asli, Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), kenyataan Nasruddin pada persidangan dewan undangan negeri 23 April adalah “jahil, tidak bertanggungjawab, mengelirukan, tidak berlandaskan kepada fakta sebenar”.
Pengerusi JKOAK Mustafa Along juga mendakwa ia cubaan untuk menutup kebenaran.
“Kenyataan itu juga secara jelas, terang dan nyata telah bercanggah dengan dapatan Mahkamah di Malaysia yang melibatkan kes-kes tanah yang melibatkan Orang Asli.
“Kerana kes-kes ini tidak hanya melibatkan negeri-negeri lain (seperti, Perak, Pahang, Selangor dan Johor) tetapi juga turut melibatkan Negeri Kelantan.
“Sebagai makluman, di Kelantan terdapat dua kes Mahkamah yang melibatkan kes tanah Orang Asli, iaitu kes tanah Orang Asli Pos Belatim yang telah berlangsung pada 2017 dan kes tanah Orang Asli Pos Balar.
“Dapatan bagi kes-kes ini secara jelas, terang dan nyata telah memutuskan Orang Asli mempunyai hak ke atas tanah mereka, yang juga di kenali sebagai kawasan Tanah dan Wilayah Adat,” tambahnya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan itu, Mustafa berkata kenyataan menteri besar itu boleh ditafsirkan sebagai menghina mahkamah.
Dia mendakwa kenyataan sedemikian timbul daripada keengganan kerajaan – sama ada di peringkat negeri atau persekutuan – untuk mengiktiraf hak Orang Asli, walaupun mahkamah telah memutuskan sebaliknya.
“Ketiadaan tekad politik di pihak kerajaan sama ada kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan telah menyebabkan isu yang berkaitan isu ini terus berlarutan tanpa penyelesaian,” katanya
Justeru JKOAK menggesa agar kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan mengambil tindakan yang sepatutnya di dalam
mempromosi dan melindungi hak-hak Orang Asli sebagai mana yang telah termaktub oleh Perlembagaan Persekutuan dan keputusan kes-kes mahkamah melibatkan tanah Orang Asli.
“Pindaan ke atas undang-undang yang berkaitan dengan hak tanah Orang Asli, termasuk memasukkan istilah ‘tanah adat’ ke dalam undang-undang yang berkaitan hak tanah Orang Asli.
“Proses pindaan ini juga harus mengadaptasi prinsip-prinsip
Keizinan Berasaskan Makluman, Awal, Bebas dan Telus (IMABT). Usaha ini digesa untuk segera diambil oleh pihak kerajaan bagi melindungi kepentingan dan hak-hak Orang Asli yang saban hari tertindas oleh ketidakpedulian pihak-pihak yang terbabit,” katanya.
Nassuruddin sebelum ini mendakwa tiada istilah tanah adat yang diiktiraf bagi Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan ia hanya wujud dan diiktiraf di Sabah dan Sarawak.
Katanya, perkara itu terdapat dalam Kanun Tanah Negara 1965 mahupun Akta Orang Asli 1954.
“Tanah adat sebenarnya tidak wujud di Semenanjung Malaysia.
“Di Kelantan, kawasan masyarakat Orang Asli tidak diwartakan di bawah Akta Orang Asli, sebaliknya melalui peruntukan Perizaban Kanun Tanah Negara,” katanya semasa sesi penggulungan pada sidang DUN Kelantan minggu lalu.