Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri meminta Ahli Parlimen PAS, Wan Rohimi Wan Daud supaya mendapatkan data jenayah seks dan narkotik di Kelantan daripada pihak polis.
Nancy berkata, pihak polis hanya menjalankan tugas untuk mengawal dan menyiasat kes yang berlaku.
“Kalau nak bukti minta dan kerjasama dengan polis.
“Kami pun mohon data polis sebelum keluarkan kenyataan kerana ia membabitkan kes telah disiasat…kalau belum siasat tak masukkan,” katanya selepas perhimpunan bulanan kementeriannya, lapor Free Malaysia Today.
Wan Rohimi pada sidang DUN Kelantan, Selasa lalu mendakwa Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat memberi gambaran negatif berhubung kes-kes jenayah di negeri itu.
Dia mendakwa polis mengeluarkan kenyataan tersebut tanpa disokong oleh data dan fakta.
Pemimpin PAS itu juga mendakwa tindakan itu ada kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning yang akan berlangsung esok (26 April).
Dalam sidang media khasnya pada 9 April lalu, Mohd Yusoff memaklumkan, jumlah kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan menunjukkan trend peningkatan ketara setiap tahun, dengan kebanyakan kes melibatkan hubungan suka sama suka.
Menurutnya, pada 2024 sebanyak 252 kes direkodkan berbanding 206 kes pada 2023.
Apa yang membimbangkan polis, katanya, ialah ada dalam kalangan pelaku terdiri daripada remaja berumur seawal 10 tahun.
Mohd Yusoff sebelum ini juga mendedahkan ramai pengasas produk kosmetik dan pempengaruh di Kelantan terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dan penggubahan wang haram.