Malaysia Oversight

Nampak ada sinar terang di hujung terowong

By MkiniBM in May 26, 2025 – Reading time 4 minute
Nampak ada sinar terang di hujung terowong


ULASAN SUKAN | Skuad badminton negara tetap menerbitkan harapan betapa pingat emas pertama Sukan Olimpik masih boleh dipertaruhkan ke atas cabang sukan ini menjelang edisi 2028.

Ia susulan kepada kemampuan dan komitmen diperlihatkan pemain utama negara dalam Kejohanan Masters Malaysia yang berakhir di Arena Axiata, semalam.

Sekalung tahniah kepada pasangan nombor tiga negara, Man Wei Chong-Tee Kai yang membuat kejutan muncul juara baru selepas mengejutkan rakan senegara dan pemain nombor tiga dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam final.

Rata-rata, pencapaian pemain utama negara dalam Siri Super 500 itu memberi gambaran bahawa destinasi ke Los Angeles masih menunjukkan prospek besar buat meyakinkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ingat, prospek besar itu hanya berbaki kira-kira tiga tahun lagi. Ini bukan suatu tempoh lama.

Acara beregu, khasnya, jelas menunjukkan sengat dalam Masters Malaysia kali ini. Kita ada tiga wakil yang berjaya mara sehingga ke separuh akhir. Ini satu tanda positif dan momentum itu memang sangat perlu dikekalkan.

Ini termasuk jaguh wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang menjelmakan aksi konsisten dan persembahan terpuji selepas hadir dengan status juara Terbuka Thailand, bulan ini.

Boleh digilap jadi lebih mantap

Cuma nampak ada gangguan minda sedikit – sama ada ada mereka mahu kekal di bawah payung BAM atau sebaliknya angkat kaki dan bergerak sebagai pasangan profesional.

Terpulang kepada pasangan nombor empat dunia itu menentukan hala tuju mereka.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang juga pasangan nombor kedua dunia juga tidak ketinggalan apabila mampu layak ke suku akhir sebelum tewas kepada Wei Chong-Kai Wun.

Kelompok ini sahaja yang nampak boleh disandarkan harapan ketika ini manakala yang lain masih dipisahkan oleh jurang perbezaan dari segi kemampuan masing-masing.

Namun, rasanya kita kena cari juga beberapa lagi barisan remaja terbaik, termasuk bagi acara perseorangan lelaki ke arah objektif utama itu. Kalau pun bukan untuk misi LA 2028 tapi boleh dicanang bagi edisi 2032.

Contoh terbaik ialah beregu muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing, yang boleh digilap menjadi lebih mantap bagi merapatkan jurang dengan pasangan senior lain.

Tambahan pula sentuhan dan motivasi daripada ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi, boleh banyak membantu menjadikan pasangan juara Kejohanan Dunia Remaja pada Oktober 2024 itu kian digeruni.

8f42217c392b2bd3d383ffdacfaf9496

Malah, dalam satu temu bual oleh media pada awal tahun lalu, kedua-dua pemain yang berusia 18 dan 19 tahun itu sudah pun bersuara. Matlamat mereka ialah layak ke Sukan Olimpik 2028 berdasarkan merit.

Ini bererti Aaron Tai-Khai Xing percaya atas kemampuan sendiri bahawa mereka akan bersedia pada usia sekitar 22 tahun.

Sifat yakin mereka mahu layak secara merit perlu dipuji, tetapi pada masa sama, ia perlu dibantu semua pihak. Jika berjaya, pasangan itu pasti menjadi antara pertaruhan terbaik negara naik ke podium Olimpik bagi edisi 2032.

Dalam Masters Malaysia, pemain berasal dari Melaka dan itu terkandas pada pusingan kedua kepada lawan dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dalam permainan kontroversi gara-gara mutu pengadilan yang dianggap berat sebelah.

Bersandar pada ‘angkatan lama’

Bagaimana pula dengan kelibat juara baru kejohanan, Wei Chong-Kai Wun? Apakah BAM melihat pasangan nombor lapan dunia itu sebagai prospek emas Olimpik bagi kontinjen negara?

Atau, apakah BAM akan terus menaruh harapan ke atas Aaron-Wooi Yik atau Sze Fei-Izzuddin?

Pada temasya itu nanti, dua pasangan utama kita itu bakal mencecah usia 30 tahun atau lebih.

Kalau mahu ikutkan faktor usia, Wei Chong-Kai Wun lebih sesuai bagi sasaran ke Olimpik. Mereka masing-masing berusia 25 tahun dan boleh dianggap masih muda bagi cabaran di Los Angeles nanti.

Apa pun, kita bukan seperti yang sentiasa ada ramai bekalan pemain sebagai prospek emas untuk setiap kitaran Olimpik. Begitu juga dengan Korea Selatan atau Jepun.

Ini bererti dengan kekangan seperti ini, ‘angkatan lama’ kita dijangka terus menjadi harapan pengurusan skuad negara kecuali ada barisan muda meledak dan mengancam pemain senior secara tiba-tiba dalam tempoh dua tahun akan datang.

e1de34788e0144c565b61d83e7f2f589

Semua pihak terbabit, khususnya pemain, pengurusan pasukan dan BAM harus menggandakan usaha dan terus gigih mulai sekarang bagi merealisasikan impian itu.

Perancangan lebih jitu dan padu harus dilakukan dengan sifat serius dan ikhlas, termasuk melibatkan aspek keberkesanan program pembangunan remaja.

Usaha mencari bakat muda di seluruh negara juga harus sentiasa diutamakan walaupun kelompok terbaik negara sudah ada di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Kita tidak akan tahu di manakah lokasi mutiara baru negara selagi bakat itu tidak dicari, dicungkil dan digilap sebaik-baiknya.

Mana tahu, mungkin ada beberapa ‘Lin Dan’ dan ‘Lee Chong Wei’ atau ‘Razif-Jalani Sidek’ di Sabah atau Sarawak, umpamanya?

Akhir kata, terima kasih kepada penonton kita yang membanjiri gelanggang di Arena Axiata untuk memberi sorakan padu kepada cabaran pemain negara setiap hari sehingga pada hari penamat.

Mahu atau tidak, kita memang perlukan bantuan penyokong dan peminat setia untuk bangkit melakar nama di pentas antarabangsa. Penyokong badminton adalah contoh terbaik dalam konteks sukan negara.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link