Malaysia Oversight

Nama MP tak periksa kesihatan akan disiar di laman web parlimen

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 1 minute
Nama MP tak periksa kesihatan akan disiar di laman web parlimen


Semua ahli parlimen diingatkan untuk segera menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka kekal sihat untuk terus berada di Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul berkata mana-mana ahli parlimen yang gagal berbuat demikian, nama mereka akan dipaparkan di laman sesawang parlimen.

Menurut Johari, pihaknya telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan telah mengutuskan surat kepada semua ahli parlimen bagi memaklumkan perkara itu, lengkap dengan tarikh akhir untuk mereka menjalani pemeriksaan.

“Saya telah pun bekerjasama dengan Menteri Kesihatan dan saya juga telah mengutus surat kepada semua ahli yang berhormat untuk buat check-up.

“Jadi, saya dah bagi deadline dan siapa ahli berhormat yang tidak buat check-up saya akan naikkan nama anda di website,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, langkah itu diambil bagi memastikan semua wakil rakyat berada dalam keadaan sihat dan mampu menjalankan tugas mereka di parlimen dengan baik.

“Saya nak pastikan Yang Berhormat sihat, boleh berdegar-degar (berbahas) dalam dewan. Jadi, mesti sihat,” katanya lagi.

Difahamkan semua ahli parlimen diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan selewat-lewatnya 11 Nov ini.



Source link