PARLIMEN | Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mencadangkan supaya nama bunga Rafflesia ditukar sempena Hari Kebangsaan ke-68.
Mencelah penggulungan pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Johari Ghani pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13, Wan Fayhsal secara berseloroh berkata, nama bunga itu boleh sahaja ditukar sempena nama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Boleh tak kita bagi nama yang begitu baik bagi bunga kita, mungkin yang berhormat menteri boleh cadangkan kepada Kabinet untuk cari nama lain yang lebih cantik.
“Nama Anwar Ibrahim tak apa, asalkan yang lebih baik,” katanya.
Menurut Wan Fayhsal, nama Rafllesia diambil sempena nama Sir Thomas Stamford Raflles, iaitu residen pertama Singapura.
Menjawab celahan itu, Johari berkata dia mengambil maklum perkara itu.
“Saya ambil maklum, kalau ada nama (baru), cadanglah,” kata Johari.
Sementara itu, Wan Fayhsal berkata cadangan itu selaras dengan seruan Perdana Menteri yang mengajak orang ramai melihat sejarah negara di luar kerangka penjajah.
“Rafflesia ni nama diambil sempena nama Stamford Raflles, penjajah kita. (Dia) orang yang tak berakhlak, tak beretika,” katanya lagi.

Nama “Rafflesia” diberikan sempena penghormatan kepada Raffles, yang mengetuai ekspedisi penemuan tumbuhan itu.
Nama spesiesnya, arnoldii, pula diambil sempena Dr Joseph Arnold, yang turut serta dalam ekspedisi sama.
Tumbuhan itu pertama kali ditemui di hutan Sumatera pada 1818, dan juga di hutan Borneo.
Nama bunga tersebut dalam bahasa Melayu adalah bunga Pakma.
Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Hariz Mohd, Haspaizi Zain