Bekas perdana menteri Najib Razak sukar untuk berjuang melalui mahkamah bagi mendapatkan keadilan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi.
Puad berkata demikian selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh peguam negara (AG) bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan berhubung titah adendum berkaitan tahanan rumah terhadap Najib.
Jelas Puas, bukan sahaja Najib, malah ahli Umno wajar berkecil hati dengan perkembangan itu.
“Bukan setakat kecewa tetapi ahli-ahli Umno dan mereka yang menyokong keadilan wajar berkecil hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam.
“Ia menguatkan lagi dakwaan bekas Hakim Besar Malaya Abdul Rahman Sebli bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil.
“Maknanya Najib terpaksa tunggu lagi lama. Kita hairan kenapa peguam negara baru meneruskan tindakan peguam negara lama.
“Najib terpaksa berjuang di Mahkamah membuktikan titah adendum wujud. Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan perdana menteri (Anwar Ibrahim) mengakui kewujudannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Semalam, Najib meluahkan kekecewaan dengan penangguhan pendengaran berhubung dakwaannya tentang kewujudan dokumen tambahan yang membenarkannya menghabiskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
“Dia kecewa dalam erti kata bahawa ini akan melambatkan lagi proses mahkamah. Sebab ia dah setahun empat bulan.
“Kita pun dah tahu amat jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong yang ke-16 iaitu Sultan Pahang telah pun menjelaskan memang ada adendum yang membolehkan najib menjalani hukuman penjara di rumah,” kata ketua pasukan pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpu kepada pemberita.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan AG untuk merayu berkaitan kewujudan dokumen tambahan dalam kes tersebut.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim dalam keputusan sebulat suara berkata persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh AG memenuhi syarat ambang untuk kebenaran diberikan mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Sementara itu, Mohd Puad berkata selepas berjaya membuktikan kewujudan titah adendum, kini Najib terpaksa menunggu sehingga Julai.
“Tetapi setelah berjaya Najib terpaksa pula tunggu hingga Julai 2025. Najib sukar berjuang melalui mahkamah,” kata Mohd Puad lagi.