Malaysia Oversight

Najib bukan ‘orang kampung’ pura-pura jahil dana 1MDB

By MkiniBM in December 26, 2025 – Reading time 2 minute
Najib bukan ‘orang kampung’ pura-pura jahil dana 1MDB


Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, hari ini menolak sebarang tanggapan bahawa tidak menyedari penyelewengan dana 1MDB, sambil menyatakan bekas perdana menteri itu “bukan orang kampung” yang boleh berpura-pura jahil terhadap apa yang berlaku.

Sebelum prosiding ditangguhkan tengah hari tadi, Sequerah membacakan analisisnya terhadap keterangan saksi pendakwaan, termasuk testimoni bahawa jaminan yang dikeluarkan untuk 1MDB pada 2013 dipercepatkan atas arahan Najib, selain proses tersebut disifatkan sebagai luar kebiasaan serta disokong dokumentasi minimum.

“Tertuduh bukan orang kampung tetapi memiliki bukan sahaja latar keluarga dan politik yang cemerlang, malah kecerdasan yang tinggi.

“(Ini) berdasarkan latar akademiknya, pengalaman terdahulu dalam politik dan pentadbiran, bukan sahaja di peringkat serantau malah di peringkat nasional,” kata Sequerah.

Hakim itu turut mengemukakan dapatan berkaitan beberapa aspek pembelaan Najib, termasuk dakwaan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan pegawainya membuat sebarang laporan berhubung penyelewengan didakwa berlaku di 1MDB.

“Tertuduh mengakui beliau tidak pernah membuat sebarang laporan bagi menyatakan tandatangannya terdapat pada dokumen tertentu yang dipalsukan,” kata Sequerah.

“Bukti juga menunjukkan tertuduh mengambil tindakan berikut dengan membubarkan pasukan petugas khas pada Julai 2015 yang menyiasat 1MDB dan kemasukan wang ke akaun peribadi tertuduh, selain penyingkiran secara mengejut peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail, yang mengetuai pasukan tersebut, serta penyingkiran ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim ketika SPRM sedang mempergiat siasatan (ke atas 1MDB).

“Keseluruhan tindakan ini jelas menunjukkan tertuduh mempunyai kepentingan lebih daripada sekadar sambil lalu dalam urusan 1MDB, selain menonjolkan sejauh mana langkah yang diambil untuk melindungi dan mengukuhkan kepentingan mereka,” tambah Sequerah.

Mahkamah bersambung pada jam 3 petang ini untuk menyampaikan keputusan terhadap pertuduhan berkaitan 1MDB.

[Berita penuh menyusul]



Source link